Tuesday, February 1, 2011
Pimpinan baru MTUC temu pejabat Muhyiddin Rabu depan
January 06, 2011
KUALA LUMPUR, 6 Jan — Pucuk kepimpinan baru Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang dilihat sebagai barisan bebas pengaruh politik, akan mengadakan pertemuan dengan pejabat timbalan perdana menteri di Putrajaya, Rabu depan.
Presiden MTUC Khalid Atan berkata, pertemuan itu, yang lebih bersifat “suai kenal”, diadakan atas undangan pejabat timbalan perdana menteri.
“Kami ada menerima jemputan agar sertai majlis suai kenal, jadi kami menghargainya dan menerima jemputan itu. Difahamkan cuma sesi berkenalan dengan pegawai-pegawai timbalan perdana menteri sebelum mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Khalid berkata, pertemuan itu dijangka akan menerokai langkah untuk bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelak.
MTUC juga akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif pertama Rabu depan, yang akan menyusun rangka kerja dan programnya.
Khalid juga berkata, pihaknya akan membangkitkan perkara-perkara yang dirasakan perlu jika ada kesempatan sempena pertemuan minggu depan.
“Kalau kami diberikan peluang, kami akan bawa isu-isu berkaitan untuk perhatian kerajaan dan jika tidak, kita akan bawa pada pertemuan-pertemuan lain,” kata beliau yang menewaskan Syed Shahir Syed Mohamud pada pemilihan MTUC minggu lalu.
Ini kali pertama dalam lebih tiga dekad lalu MTUC mempunyai presiden dan setiausaha agung bukan kalangan mereka yang memegang jawatan parti politik.
Abdul Halim Mansor menewaskan dua calon termasuk Ahli Parlimen PKR Kuala Langat Abdullah Sani Hamid dan J. Solomon dari Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan untuk menerajui jawatan setiausaha agung.
Khalid dari Kesatuan Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia menewaskan Syed Shahir, juga anggota PKR, yang menerajui MTUC sejak enam tahun lalu.
Minggu lalu, Halim memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya akan cuba mengadakan pertemuan dengan Najib untuk mewujudkan persahabatan kongres itu dan kerajaan.
Katanya, kepimpinan baru MTUC bersedia untuk bekerjasama dengan pentadbiran Najib tetapi memberi “amaran awal” tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan “kesederhanaan” yang mereka hendak perlihatkan.
Halim berkata, mereka juga bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri bagi menerokai laluan mengadakan hubungan yang lebih baik dengan pemerintah demi kepentingan kaum pekerja.
MTUC mendakwa mempunyai lebih 200 kesatuan gabungan mewakili 500,000 ahli.
Pemilihan minggu lalu merupakan yang pertama sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008 yang membawa ‘tsunami politik’.
“Kami akan menulis surat kepada Pejabat Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan... MTUC mahu mengadakan satu pertemuan dengan perdana menteri bagi menyampaikan maksud dan erti kerjasama yang MTUC hendak jalin dengan Putrajaya.
“Kami hendak menterjemahkan, perhubungan yang kami mahukan dengan pihak kerajaan, dengan perdana menteri, beri peluang untuk membawa isu-isu pekerja untuk perhatian kerajaan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Mengenai pertemuan minggu depan Halim berkata, masih terlalu awal untuk mengadakan perkara yang bakal dibincangkan.
“Kita sedang membuat persiapan mengenai perkara yang hendak dibawa, tetapi ia hanya pertemuan awal,” kata beliau sambil menambah kemungkinan tidak semua pemimpin kanan MTUC akan pergi.
“Tetapi sebahagian besar ahli jawatankuasa MTUC akan hadir,” kata Halim yang mengakui tarikh temu janji diperoleh dua hari lalu.
“Kami akan bertemu mereka dengan pendirian terbuka, kami berharap ia akan membawa kebaikan kepada MTUC,” kata beliau lagi.
Oleh G Manimaran
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pimpinan-baru-mtuc-temu-pejabat-muhyiddin-rabu-depan/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment