Thursday, January 26, 2012

Kesatuan: Piket, jika TNB tidak selesai 4 isu


Wartawan Sinar Harian
January 25, 2012
TNB


SHAH ALAM - Dua kesatuan dan persatuan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi kata dua kepada pengurusan mereka agar menyelesaikan empat tuntutan penting berkaitan pertikaian perhubungan perusahaan menjelang 24 Februari ini dan jika tidak akan mengadakan piket.

Pendirian itu diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa bersama kesatuan dan persatuan TNB di ibu negara hari ini.

Malah jawatankuasa itu juga memutuskan untuk menggesa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh supaya berundur dan turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak menyambung kontrak beliau, yang dijangka akan tamat Jun ini.

"Perkara ini kami telah putuskan pada mesyuarat jawatankuasa bersama hari ini dan akan menghantar senarai tuntutan kepada pengurusan TNB dan juga surat kepada Perdana Menteri pada 3 Februari ini," kata Setiausaha Jawatankuasa Bersama Mohd Roszeli Majid ketika dihubungi hari ini.

"Kami juga mahu memberi masa yang mencukupi kepada pengurusan untuk bertindak menyelesaikan senarai tuntutan kami. Selain itu, mengikut undang-undang, jika mahu mengadakan piket, kami perlu memberi notis 14 hari kepada pengurusan," kata beliau yang juga Presiden Kesatuan Pegawai Rendah TNB.

Katanya, "kami kesatuan dan persatuan yang bertanggungjawab dan mahu memberi majikan masa yang cukup untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit."

Menurut beliau, ini kali pertama kesemua kesatuan-kesatuan dan persatuan dalam TNB bersatu memutuskan untuk mengambil tindakan berpiket.

Kali terakhir kesatuan TNB berpiket adalah pada 1996.

Ketiga-tiga kesatuan dan persatuan terdiri daripada Kesatuan Pegawai-pegawai Rendah TNB, Kesatuan Percantuman Pekerja-pekerja TNB dan Persatuan Eksekutif TNB - dianggotai sekitar 25,000 pekerja.

"Berlanjutan dari surat yang dihantar oleh kesatuan dan persatuan TNB kepada Perdana Menteri, berikut adalah isu-isu yang menyebabkan Jawatankuasa Bersama Kesatuan dan Persatuan TNB dalam mesyuaratnya hari ini mengambil ketetapan untuk mengisytiharkan pertikaian perusahaan terhadap pengurusan TNB.

"Untuk makluman, surat kepada Perdana Menteri masih belum mendapat sebarang maklum balas sehingga ke tarikh hari ini. Ini adalah kali ketiga kesatuan dan persatuan TNB menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung isu-isu pengurusan CEO TNB iaitu pada tahun 2010, 2011 dan 2012," katanya lagi.

Antara isu yang menjadi pertikaian ialah penyumberan keluar dan penswastaan perkhidmatan, pengambilan eksekutif baru tidak mematuhi Perjanjian Bersama (CA), pemangkuan sementara untuk kenaikan pangkat melebihi tujuh bulan seperti yang dimaktubkan dalam CA dan peletakan jawatan tertakluk kepada kelulusan Naib Presiden Sumber Manusia tanpa berunding dengan Persatuan Eksekutif TNB dan pengagihan bonus muktamad tahun kewangan 2010/2011 ditolak dari bonus syarikat.

Perjanjian kolektif 2011/2013 menyatakan bahawa bayaran bonus tahunan kepada pekerja-pekerja yang telah disahkan jawatan kemungkinan berdasarkan prestasi syarikat dan individu.

Katanya, tindakan pengurusan memotong bonus syarikat dari bonus muktamad pekerja adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pemberian bonus.

"Bonus syarikat tidak pernah diambil kira dalam bayaran bonus muktamad. Bonus syarikat adalah pemberian sama rata hasil peningkatan produktiviti tetapi bonus muktamad adalah berdasarkan prestasi individu dan syarikat," katanya lagi.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/kesatuan-piket-jika-tnb-tidak-selesai-4-isu-1.20089?fb_comment_id=fbc_10151199693810344_29796856_10151199877775344#f2c94875d64f4f6