TRANFORMASI ATAU TRANSFER ‘KASI’? Mungkin istilah TRANSFER ‘KASI’ lebih sesuai dipakai untuk menggambarkan keseluruhan kesan plan transformasi GLC yang sedang rancak dijalankan terhadap pekerja di Negara ini. Kita sebagai pekerja perlu bimbang dengan perkembangan mutakhir yang menimpa pekerja negara terutama di syarikat berkiatan kerajaan - GLC. Terpalit sama dalam plan tindakan transformasi
Negara ialah Transformasi terhadap Undang-Undang Pekerjaan yang kini hangat dibincangkan dan ditentang oleh Kesatuan Sekerja. Ianya mempunyai impak yang amat besar terhadap perubahan lanskap jaminan pekerjaan dalam negara ini.
Pindaan Akta Kerja 1955 baru sahaja diluluskan pada 6 Oktober 2011 oleh Parlimen yang antara lain menimbulkan ancaman ‘contractor for labour’ atau pelaksanaan skim kerja secara kontrak yang bakal menghapuskan jaminan pekerjaan tetap dimasa depan. Meskipun pelbagai pindaaan dilakukan dalam Akta Kerja 1955 tetapi tentangan terhadap pindaan ini terfokus kepada isu ‘Contractor For Labour’. Pelaksanaan ‘Contractor For Labour’ di negara-negara luar telah banyak menimbulkan implikasi negatif terhadap kaum pekerja.
Terma dan syarat perkhidmatan bekerja secara kontrak akan memudahkan majikan melantik dan menamatkan pekerja pada bila-bila masa. Ianya juga tidak menyediakan ganjaran dan benefit lazim yang diperuntukkan melalui undang-undang termasuk penafian caruman PERKESO, KWSP, tiada kenaikan gaji tahunan, bonus dan juga faedah-faedah lain pekerjaan. Malahan sistem ‘Contractor For Labour’ akan mengujudkan class pekerjaan dengan kadar upah yang rendah kerana factor upah ditentukan oleh lambakan tenaga kerja negara yang terpaksa bersaing bersama pekerja asing. Majikan amat mudah memanipulasi dan menindas kaum pekerja bila Pindaan Akta Kerja 1955 dilaksanakan kelak. Mungkin 15/12/2011 merupakan protes terakhir pekerja dan NGO di depan parlimen yang akan menjadi sebahagian sejarah penentangan kaum pekerja yang akan disimpan sekali lagi sebagai sebahagian sejarah titik hitam dalam perjuangan kaum pekerja mempertahankan hak mereka dalam negara ini. Kerajaan ternyata akan mengambil sikap ‘bulldoze’ seperti yang dilakukan terhadap Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan baru-baru ini di parlimen.’Rakyat DiDahulukan’ menjadi slogan ‘rhetoric’ bagi menghalalkan cara serta mengekang hak dan kebebasan rakyat untuk bersuara.
Plan Transformasi Negara melalui GLC telah menyaksikan pada tahun ini sahaja beberapa syarikat GLC bergoncang kerana perubahan dasar yang dibuat oleh kerajaan. Tranformasi Negara di GLC yang antara lain melibatkan Pos Malaysia, MAS, Air Asia, Telekom, KTMB & TNB. Pos Malaysia pada awal tahun ini telah dijual kepada Al-Bukhary Group dan menyebabkan ketidak tentuan kepada kedudukan keahlian 7 union di dalam syarikat tersebut. Berdasarkan peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967-sesuatu Kesatuan itu perlu mendapat pengiktirafan semula bila syarikat berpindah tangan bagi melayakkan mereka mengujudkan semula Perjanjian Bersama.
AirAsia pula yang merupakan milik taikun Tony Fernandes telah berjaya melobi pihak-pihak tertentu hingga melayakkan mereka mengujudkan kerjasama dan seterusnya pengambilalihan saham syarikat gergasi penerbangan Negara – MAS. AiaAsia cukup terkenal dengan polisi ‘Union Busting’ atau anti Kesatuan Sekerja sehinggakan mana-mana pekerja yang merancang menubuhkan Kesatuan Sekerja telah dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja. Penggabungan ini mendapat tentangan hebat dari dua kesatuan induk di dalam MAS tetapi akhirnya ianyanya tidak dapat dihalang lagi sehinggalah termenterai perjanjian antara MAS dan AirAsia baru-baru ini. Nasib lebih dua puluh lima ribu pekerja MAS kini terumbang-ambing menunggu penyusunan semula organisasi penerbangan Negara.
Telekom Malaysia (TM) pula mengalami penguncupan pekerja tetap secara drastik kerana perubahan polisi yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut. Banyak bahagian yang telah diswastakan dan kerja-kerja ‘outsourcing’ atau kontrak dilakukan dengan meluas.Beberapa anak syarikat milik TM kini telah berpindah tangan kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dengan orang-orang politik tertentu dalam kerajaan.
Minggu lepas pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dikejutkan dengan pengumuman untuk menswastakan sekali lagi Keretapi Tanah Melayu kepada sebuah syarikat pengendali keretapi express. Terdapat kira-kira lebih dua puluh ribu pekerja KTMB yang kini semakin gelisah atas ketidak tentuan yang ujud kesan dari berita tersebut. Kesatuan KTMB telah bersuara membantah dasar tersebut dan sedang berjuang dengan pihak pengurusan KTMB bagi menghalang hasrat penjualan kepentingan KTMB kepada pihak-pihak yang berkepentingan.
Malahan industri perbankkan juga sedang mendakapi situasi yang merbahaya kepada pekerja. EON Bank yang baru sahaja diambilalih oleh Hong Leong Bank sejak 6 bulan lalu kini sedang giat menawarkan skim pemisahan pekerjaan atau VSS. Mana-mana pekerja yang ditawarkan VSS kini berada dalam delema samada untuk menerimanya ataupun menolaknya. Natijahnya keputusan menawarkan VSS tersebut tidak dibuat mengikut amalan wajib sebagaimana kelazimannya. Ianya mendapat kelulusan Bank Negara dan pihak Kementerian Tenaga Kerja tanpa merundingkannya terlebih dahulu dengan Kesatuan sekerja NUBE yang menjadi wakil sah pekerja disisi undang-undang.
Melihat semula pengujudan ‘MY Power’ oleh Suruhanjaya Tenaga melalui Jawatankuasa PEMANDU, amatlah jelas isyarat telah terpampang iaitu satu tanda terhadap idea pemecahan TNB sebagai monopoli tunggal dalam industri perbekalan elektrik Negara. Kenyataan demi kenyataan dari pelbagai pihak termasuk semasa persidangan yang baru berlalu menunjukkan pihak-pihak yang berminat untuk mengambil alih TNB telahpun berjaya mengetuk pintu TNB. Halangan terbesar yang masih menghantui pihak-pihak tersebut adalah Pengurusan dan pekerja TNB. Kini TNB pula dilanda masalah dengan pihak PETRONAS berhubung bekalan gas hingga menyebabkan kewangan TNB merundum secara tiba-tiba. Sesuatu yang bukan rahsia bila satu forum yang diadakan di hotel J.W.Marriot Kuala Lumpur baru-baru ini telah menampilkan beberapa sampling model pelaksanaan pemecahan kuasa monopoli dalam industri bekalan elektrik. Apa juga transformasi yang dilakukan sewajarnya meningkatkan kualiti kehidupan pekerja sebagai rakyat dan tidak sepatutnya meningkatkan kos kehidupan hingga tidak terkawal dan gagal diimbangi oleh kadar peningkatan pendapatan.
Transformasi ternyata menjadi alat Transfer 'kasi' oleh pemerintah untuk melepaskan pegangan dalam syarikat berkaitan kerajaan bagi memperkayakan golongan kapitalis dan rakan niaga ahli-ahli politik yang yang ada kaitan dengannya. Tibalah masanya semua pihak dalam negara ini bangkit untuk menggembleng tenaga dan kudrat bagi menolak agenda yang ternyata telah dan bakal memusnahkan masa depan pekerja dan kehidupan rakyat. Agenda kapitalis tidak sepatutnya dibiarkan menular tanpa ada usaha-usaha yang terancang bagi mengekangnya. Pilihanraya ke 13 bakal menjelma dan kaum pekerja yang merupakan pengundi terbesar wajar memikirkan masa depan negara dan kehidupan mereka terus dijamin oleh satu sistem yang dapat memberikan perlindungan secukupnya untuk mereka dan generasi akan datang. Berubahlah untuk membentuk satu dimensi baru yang dapat mengangkat martabat kaum pekerja sebagai modal insan yang dihargai pemerintah dan majikan dalam arus perubahan lanskap politik negara yang lebih berkebajikan untuk pekerja dan rakyat.