Sunday, February 27, 2011

KENYATAAN MEDIA BERSAMA PAKATAN RAKYAT – GAJI MINIMA

19 Februari 2011

Kami merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bernama, 18 Feb 2011) yang menyatakan pihak kerajaan pusat “akan berunding dengan pihak pengurusan ladang syarikat milik kerajaan (GLC) untuk mencari langkah terbaik dalam menimbang semula kadar gaji pekerja di ladang masing-masing.”

Pakatan Rakyat mengalu-alukan usaha kerajaan persekutuan, walaupun ianya kelihatan serupa panggilan Pakatan Rakyat supaya pekerja ladang GLC dibayar gaji yang lebih baik. Pada 16 Feb 2011, Pakatan Rakyat telah meminta Barisan Nasional menunjukkan kesanggupan politik (political will) yang serius mengenai isu gaji minima ini dengan melaksanakan serta-merta dasar gaji minima untuk setiap GLC, terutamanya bagi pekerja-pekerja di peringkat paling bawah seperti pekerja estet.

Pakatan Rakyat juga mengingatkan kerajaan persekutuan agar memastikan perbincangan-perbincangan isu gaji minima bersama pihak-pihak yang berkenaan hendaklah dijalankan dengan adil dan saksama, dan kami mengambil pendirian bahawa perbincangan-perbincangan tersebut haruslah bersifat terbuka dan telus.

Akhir sekali, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini dengan jelas menunjukkan bahawa dasar-dasar Pakatan Rakyat seperti yang dinyatakan dalam Buku Jingga benar-benar mesra rakyat dan amat mudah dilaksanakan.

YB Abdullah Sani (Ahli Parlimen Kuala Langat)
YB M Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Barat)
YB Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai)
YB Liew Chin Tong (Ahli Parlimen Bukit Bendera)
YB Dr Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar)


http://www.nurulizzah.com/site/2011/02/19/kenyataan-media-bersama-pakatan-rakyat-gaji-minima/