Thursday, February 10, 2011

'Gaji minimum' ke parlimen sebelum Jun

Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Rang Undang-undang Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1947, pada sesi Parlimen sebelum Jun ini, kata menteri berkenaan Datuk Dr S Subramaniam.
Katanya rang undang-undang itu bertujuan menyelaraskan dan menetapkan gaji minimum pekerja sektor swasta di negara ini dan mewujudkan majlis untuk menentukan kadar gaji minimum berpatutan kepada pekerja mengikut setiap sektor dan kawasannya.

"Akta ini akan memberi kuasa kepada kementerian dan majlis untuk membuat apa yang perlu bagi menetapkan dan menyelaraskan gaji di negara ini," katanya pada sidang media selepas meninjau Makmal Gaji Minimum, di Putrajaya hari ini.

Katanya makmal yang berlangsung sejak Isnin lalu hingga Isnin depan memperincikan peranan dan skop majlis selaras dengan aspirasi kerajaan meningkatkan gaji minimum pekerja mengikut arus perkembangan negara.
Selain lapan pakar dari Bank Dunia, ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat, Exco kerajaan negeri, wakil persatuan pekerja, wakil majikan, badan bukan kerajaan, ahli akademik universiti tempatan turut dijemput untuk memberi pandangan.



Satu forum untuk orang ramai memberikan pandangan akan diadakan pada Sabtu ini di Tingkat 18, Menara Perkeso, Jalan Tun Razak, bermula pukul 2.30 hingga 4.30 petang.

Mengikut kajian Bank Dunia, trend gaji di negara ini hanya mencapai peningkatan 2.6 peratus setahun dalam 10 tahun kebelakangan ini, meskipun kos hidup rakyat di negara ini terus meningkat.Subramaniam berkata kajian Kementerian Sumber Manusia 2009 yang merangkumi 1.3 pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripadanya menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaiti di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Katanya kadar gaji bagi pelbagai sektor pembuatan misalnya Elektrik dan elektronik adalah RM500-RM550, tekstil RM500-RM600, perabut RM550-RM700, plastik RM550-RM650 dan sarung tangan getah RM500-RM650.
Oleh itu, kata Subramaniam penyelarasan dan penetapan gaji baru perlu dilakukan bagi memastikan rakyat di negara ini tidak ketinggalan dalam hala tuju negara.

Berhubung gaji pokok pengawal keselamatan, Subramaniam berkata kementerianya sudah memaklumkan kepada Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) supaya melaksanakan skim gaji pokok minimum baru iaitu RM700 bermula 15 Feb ini.

"Kita sudah memaklumkan kepada PPKKM dan berharap persatuan itu akan buat secepat mungkin, kalau mereka tidak buat kita akan menghubungi mereka," katanya.

Kerajaan, katanya tidak lagi membenarkan pengambilan pekerja asing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bilangan sedia ada kurang daripada 5,000 pekerja, kebanyakannya terdiri daripada warga Nepal.

Subramaniam turut menafikan dakwaan bahawa bilangan pembantu rumah Indonesia yang masuk ke negara ini adalah banyak seperti dahulu.

"Tidak benar bahawa bilangan pembantu rumah Indonesia adalah seperti dahulu. Kerajaan kedua-dua negara masih mengadakan perbincangan dan harap dapat mencari penyelesaian segera," katanya.

- Bernama

Sunday, February 6, 2011

MTUC mahu menteri batal kesatuan dalaman Maybank


Oleh G Manimaran
February 07, 2011

KUALA LUMPUR, 7 Feb — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Sumber Manusia menghentikan serta-merta amalan meluluskan penubuhan kesatuan sekerja dalaman jika sudah ada kesatuan kebangsaan mewakili para pekerja di sesebuah organisasi.

Sehubungan itu, badan induk kesatuan sekerja tersebut menggesa Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam membatalkan kelulusan penubuhan kesatuan dalaman Maybank, yang diberikan awal tahun ini, sedangkan pekerja bank utama itu — peringkat perkeranian — sudah pun mempunyai Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) untuk mewakili pekerja dalam kategori yang sama.

NUBE mewakili pekerja peringkat perkeranian bank sejak lima dekad lalu.

“Apabila sudah ada kesatuan kebangsaan yang mewakili pekerja, maka tidak harus ada kesatuan dalaman bagi kategori pekerja yang sama... MTUC berpendirian perkara ini tidak patut wujud,” kata Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu kata Halim, pihaknya sudah menulis surat kepada Dr Subramaniam bagi membincangkan perkara tersebut.

Halim berkata, jika amalan itu diteruskan ia akan membunuh pertumbuhan kesatuan di negara ini, selain mewujudkan perhubungan perusahaan yang tidak sihat di tempat kerja.

“Kami merasakan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja telah khilaf dalam meluluskan penubuhan kesatuan dalaman Maybank ini sedangkan di bank sudah ada kesatuan kebangsaan,” katanya.

“Kalau dilihat di bawah Seksyen 12 Akta Kesatuan Sekerja, ada elemen khilaf dalam isu ini di pihak Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja... kelulusan ini agak musykil, ada kekhilafan,” katanya.

Halim juga berpendapat sebelum kelulusan diberikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja sewajarnya telah memanggil pengurusan NUBE untuk membincangkan perkara tersebut.

“Sepatutnya jabatan ini telah memanggil NUBE untuk mendapatkan pandangan sama ada wujud apa-apa masalah dan sebagainya sebelum meluluskan kesatuan dalaman... apa pun NUBE sudah wujud di Maybank, dan tidak harus ada satu kesatuan dalaman di organisasi yang sama, mewakili kategori pekerja yang sama,” katanya.

NUBE juga mengadakan perjanjian bersama dengan pengurusan Maybank bagi kategori pekerja mereka wakili.

Kesatuan itu juga telah meminta campur tangan menteri sebelum membawa kes ke mahkamah.

Halim mengakui kes seperti itu pernah wujud lebih 10 tahun lalu, juga membabitkan kesatuan dalam industri perbankan tetapi telah diatasi dengan tindakan kementerian itu.

“Dulu pernah ada kes macam ini, tetapi sudah lama tidak wujud. Sekarang muncul semula,” kata beliau sambil menambah perkembangan itu juga bertentangan dengan Akta Perhubungan Perusahaan.

Akhir bulan NUBE menggesa Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Omana Pillai menyemak keputusan mendaftar kesatuan dalaman pekerja bukan eksekutif Maybank kerana ia bercanggah dengan Seksyen 12 Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon mendakwa seksyen itu dengan jelas menyatakan bahawa kesatuan sekerja lain tidak boleh didaftarkan jika telah wujud satu kesatuan sekerja yang mewakili pekerja dalam sesebuah syarikat, perniagaan, pekerjaan atau industri.

“Sudah lebih 50 tahun NUBE mewakili 5,000 pekerja Maybank.

“Kami berpendapat Ketua Pengarah mungkin tidak mempunyai maklumat yang berkaitan sepenuhnya ketika menilai permohonan kesatuan dalaman itu,” katanya.

Beliau juga berharap pihak pengurusan Maybank tidak terbabit dalam penubuhan kesatuan itu kerana ia terikat dengan perjanjian kolektif sedia ada bersama NUBE.

Difahamkan bahawa jawatankuasa sementara kesatuan dalaman tersebut didominasi bekas anggota NUBE dan ia mungkin mempunyai kaitan dengan isu bonus.

NUBE mempunyai pertikaian dengan Maybank berhubung isu bonus sejak Jun 2009.

Ia menuntut bonus sebanyak 80 bulan untuk anggotanya berdasarkan rasional bahawa pengurus kanan dan pegawai kontrak bank itu mendapat bonus lapan bulan setiap tahun sejak sepuluh tahun lepas, yang tidak diberikan kepada anggota NUBE.


http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mtuc-mahu-menteri-batal-kesatuan-dalaman-maybank/