Friday, March 13, 2015

IMPLIKASI AKTA MAS 2015 KEPADA PEKERJA SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN (GLC)



Bencana yang menimpa Syarikat Penerbangan Malaysia(MAS)kesan kerugian yang ditanggungnya telah menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah menutup operasinya dan melakukan pelan pemulihan semula Syarikat penerbangan kebanggaan negara itu. MAS mengalami kerugian bersih RM443 juta dalam suku tahun pertama 2014 dan dianggar kini mencecah RM7 juta sehari. Laporan akhbar melaporkan MAS membelanjakan kira-kira RM2.4 billion untuk menampung kos pekerjanya yang berjumlah 19,577 pada tahun 2013. Keadaan kewangan dan operasi MAS menjadi bertambah tenat apabila terjadi trajedi kehilangan pesawat MH370 sejak setahun lalu dan jatuhnya pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke KLIA di kawasan bergolak Russia dan Ukraine.

Kerajaan telah mengorak langkah melakukan pelan pemulihan semula MAS dengan membentangkan Rang Undang-Undang MAS 2015 (http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputaktap/20150105_AKTA%20765_BI_MAS%20%28Administration%29%202015_1.pdf). Pembentangan Rang Undang Undang MAS 2015 telah diluluskan oleh parlimen pada 27 November 2014. Rang Undang-Undang itu antara lain bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pentadbiran Malaysian Airline System Berhad (MAS), syarikat subsidiari milik penuh dan milik separanya.

Ia juga akan menyediakan peruntukan bagi penubuhan entiti baharu dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad yang akan menggantikan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali ketiga sebelum diluluskan selepas mendapat majoriti persetujuan daripada anggota Dewan (http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-malaysia/dewan-rakyat-lulus-rang-undang-undang-mas-1.337206)

Rang Undang-Undang itu mempunyai 37 fasal dan enam bahagian yang mana ia dibahaskan 10 ahli Parlimen membabitkan lima dari Barisan Nasional (BN) dan lima dari pembangkang sejak pukul 11.30 pagi sebelum ianya diumum diluluskan kira-kira pukul 4.45 petang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Antara ciri-ciri utama dalam rang undang-undang itu ialah membolehkan (MAS) beroperasi pada kos yang munasabah dari kos bekalan, perkhidmatan, kakitangan termasuk kaedah-kaedah kerja dan terma-terma untuk kakitangan baharu.

Rang Undang-Undang tersebut mendapat bantahan keras dari Kesatuan Sekerja MAS - National Union of Flight Attendants Malaysia (NUFAM) (http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/airline-crew-union-cries-foul-against-proposed-mas-act#sthash.ASbI99ZK.dpuf). NUFAM membantah dan mendakwa pihak pengurusan MAS dan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan Rang Undang-Undang tersebut telah mengenepikan pandangan Kesatuan Kesatuan Sekerja dalam Syarikat MAS. Rang Undang-Undang tersebut dengan nyata memberikan imuniti kepada Syarikat MAS dari sebarang tindakan undang-undang dan menyekat Kesatuan Sekerja dari mengguna pakai peruntukan Akta Kesatuan Sekerja 1955 terhadap MAS.

Selain NUFAM,Malaysia Airlines System Employees Union (MASEU), Malaysia Airlines Employees Union Peninsular Malaysia dan Malaysia Airlines Pilot Association merupakan antara Kesatuan Sekerja yang ujud di MAS. Presiden MASEU, Alias Aziz yang sudah menerajui MASEU sejak 20 tahun lalu mendakwa tidak dijemput oleh pengurusan MAS untuk taklimat berhubung cadangan penstrukturan semula syarikat penerbangan kebangsaan itu (http://aans1.blogspot.com/2014/08/jangan-kurang-ajar-dengan-kakitangan-mas.html).

Bukan menjadi satu rahsia dikalangan pemimpin kesatuan sekerja di negara ini bahawa terdapat pergeseran antara sesama Kesatuan-Kesatuan yang ujud di MAS sejak sekian lama. Pergeseran ini telah menyebabkan hilang kemuafakatan diantara Kesatuan-Kesatuan Sekerja MAS dalam menangani isu pekerja. Sewajarnya Kesatuan-Kesatuan Sekerja di MAS mengenepikan sementara semua isu dalaman dan memberi tumpuan dan fokus kepada isu besar yang bukan sahaja mengancam periuk nasi ribuan pekerja malah mampu menimbulkan ketidak tentuan dalam halatuju Kesatuan-Kesatuan Sekerja di MAS. Difahamkan MASEU bakal mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat bagi membincangkan halatujunya kesan dari pelan pemulihan syarikat MAS.

Ternyata pegeseran dalaman Kesatuan-Kesatuan Sekerja MAS telah membuka ruang luas kepada pengurusan MAS dan semua pihak yang terlibat dengan penstrukturan semula MAS mengambil kesempatan melakukan apa sahaja keputusan tanpa melibatkan rundingan dengan pihak Kesatuan Sekerja MAS. Sehingga kini difahamkan tidak ada satupun rundingan dilakukan dengan mana-mana Kesatuan MAS untuk membincangkan nasib dan masa depan pekerja-pekerja MAS. Berita pembuangan lebih 6000 pekerja MAS telah awal-awal diumumkan oleh pihak Khazanah Nasional dan Pengurusan MAS namun butiran terperinci mengenainya masih gagal didedahkan sehingga ke hari ini. Sumber Kesatuan MAS melaporkan surat pemberhentian kerja kepada lebih 6000 pekerja bakal dikeluarkan oleh pengurusan MAS seawal 16 March 2015. Lansung tiada sebarang maklumat diterima oleh Kesatuan Sekerja MAS berhubung syarat-syarat dan kriteria pemilihan pekerja yang bakal diberhentikan.

Kesatuan-Kesatuan Sekerja GLC wajar mengambil ikhtibar dan pengajaran dari krisis MAS. Hari ini pekerja MAS sedang berdepan dengan situasi yang amat getir yang antara lain berpunca dari pergeseran dan hilang kemuafakatan dikalangan Kesatuan-Kesatuan Sekerja MAS. Semangat 'Solidarity' tidak sepatutnya menjadi slogan kosong pemimpin-pemimpin Kesatuan Sekerja tetapi ianya perlu direalisasikan demi menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja. Rang Undang-Undang MAS 2015 yang diluluskan telah menjadi 'Precedence case' untuk rujukan dimasa depan. Syarikat-Syarikat GLC kini maju setapak kedepan melalui langkah kerajaan dan Khazanah Nasional dengan melihat satu option yang terbuka luas bagi mengatasi masalah operasi dan mengurangkan pekerja. Bila-bila masa Syarikat GLC yang bermasalah boleh membuat Rang Undang-Undang baru dengan kelulusan Parlimen bagi menggantikan Rang Undang-Undang yang ada dan sekaligus melupuskan segala obligasi terhadap terma dan syarat perkhidmatan antara pekerja dan syarikat-syarikat GLC sepertimana yang dilakukan oleh MAS.

Krisis MAS tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana Kesatuan Sekerja dan pekerja-pekerja Syarikat GLC. Krisis ini menjadi pembuka laluan dengan modus operandi yang sama bakal dihadapi oleh mana-mana pekerja Syarikat GLC. Kesatuan Sekerja di MAS perlu bangkit bersatu demi masa depan pekerja dan kembali menyusun pemuafakatan bagi menghadapi isu ini. Malah pekerja-pekerja Syarikat GLC lain juga wajar melakukan mobilasasi pekerja bagi menjadi benteng untuk bersama mempertahankan hak pekerja MAS. Sudah tiba masanya slogan popular dunia Kesatuan Sekerja 'An injury to one is an injury to all' diterjemahkan kepada tindakan bersama semua pemimpin Kesatuan untuk mempertahankan hak pekerja-pekerja MAS.




KEMELUT ISU PEMBUANGAN LEBIH 6000 PEKERJA MAS - NUFAM BERI NOTIS PIKET

Hari ini Kesatuan Kebangsaan NUFAM telah mengeluarkan satu notis kepada MAS untuk berpiket demi kepentingan pekerja pekerja Kru Anak Kapal Kabin di Malaysia Airlines.

Kesatuan telah beberapa bulan cuba mencari jalan penyelesaian untuk mendampingi isu pekerja dengan pihak syarikat Nasional Malaysia Airlines tetapi ia masih gagal mendapat reaksi dari pihak syarikat MAS yang masih berdegil untuk berdepan dengan perwakilan Kesatuan Kebangsaan.
Isu kemelut MAS dan pekerja masih tidak dapat persetujuan oleh semua pihak kesatuan termasuk ITF UK yang telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai isu pembuangan 6,000 pekerja.
Kerugian MAS berpunca dari pihak pengurusan tetapi malangnya pekerja pekerja yang tidak bersalah telah menjadi mangsa dalam proses pengstrukturan syarikat MAS.
Isu MAS telah dihangatkan lagi apabila Menteri Sumber Manusia baru baru ini telah diminta mengulaskan sikap syarikat MAS dan Khazanah Nasional terburu buru untuk mengambil proses pembuangan pekerja ketika negara sedang melanda ekonomi yang tidak stabil.Kesatuan NUFAM juga telah menghantar beberapa surat kepada kerajaan Malaysia memohon agar satu siasatan dibuat keatas pihak pengurusan MAS yang nyata sekali tidak cekap dengan pengurusan syarikat penerbangan tersebut.
NUFAM juga meminta kerajaan memastikan pihak pekerja tidak dijadikan aset gadai syarikat kerana mereka telah lama berkerja dengan syarikat MAS dan apa akan jadi kepada mereka jika mereka kehilangan mata pencarian mereka jika MAS keluarkan surat pemecatan tersebut dalam beberapa minggu ini.Kesatuan NUFAM akan terus memohon pihak kerajaan memberi sokongan dan menelitikan semula proses pengstrukturan MAS Khazanah Nasional.
NUFAM memohon kerajaan Malaysia agar semua isu isu kerugian syarikat diselesaikan dahulu sebelum proses pengstrukturan pekerja dilakukan.

Kezaliman syarikat MAS & Khazanah untuk melepaskan 6,000 pekerja yang telah lama berkhidmat amat dikesali kerana pihak pengurusan tinggi kedua dua pihak sehingga hari ini masih berleluasa dan tiada apa apa tindakan diambil atas kerugian besar syarikat tersebut.Tiada apa apa tindakan juga yang diambil oleh pihak Kementerian yang berkuasa untuk memastikan pekerjaan pekerja di MAS dapat dilindungi.Yang nyata sekali, pihak pengurusan MASlah yang harus dipersalahkan atas kerugian besar ini dan bukan pekerja pekerja bawahan syarikat tersebut.

Tarikh akan diumumkan tidak lama lagi.
Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM)
13 march 2015