Thursday, September 11, 2014

KAMI SOKONG PM DAN AKHIRNYA KAMI DIBUANG KERJA...DIMANA PM KETIKA PEKERJA KTMB DIBUANG KERJA?





Oh Dimana? Dimanakah suara PM Najib ketika majoriti anak-anak melayu dibuang kerja secara beramai-ramai hanya kerana melakukan piket menuntut syarikat KTMB dipulihkan dari terus menanggung kerugian dibawah Datuk Elias Kadir - Presiden KTMB melayu yang terus beraja dimata dan bersultan dihati mengamalkan hukum rimba? Apakah PM sudah lupa slogan Janji Ditepati, Rakyat DiDahulukan, Pencapaian Diutamakan dan Slogan yang terpapar di gerabak penumpang KTMB - Kami Mendengar?
Apakah pemimpim-pemimpin melayu PERKASA, MUBARAK dan segala macam NGO yang berteraskan perjuangan Melayu mahu mengizinkan penghapusan etnik Kesatuan Sekerja dan Pekerja Melayu di KTMB atas kelemahan tadbir urus Datuk Elias Kadir terus bermaharajalela? Apakah benar seperti kata Tun Mahathir 'Melayu Mudah Lupa?' Tidakkah kepimpinan PM Najib jelas mendapat sokongan padu dari Kesatuan RUM seperti sering terpapar dalam banner piket RUM dalam setiap isu mereka? Apakah ini balasan dan harga yang terpaksa dibayar oleh ahli-ahli RUM selepas menzahirkan sokongan mereka kepada PM?

SEBELAS (11) pemimpin Kesatuan Pekerja – Pekerja KTMB terdiri dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Penolong Bendahari Agung

EMPAT (4) pemimpin cawangan serta seorang (1) ahli kesatuan, telah “dibuang kerja tanpa notis”,

TIGA BELAS (13) pemimpin kesatuan telah “digantung kerja”

LAPAN PULUH ENAM (86) iaitu pegawai cawangan serta ahli kesatuan yang menerima “notis tunjuk sebab” sedang dalam proses menunggu giliran gantung kerja seterusnya “dibuang kerja tanpa notis”

Sementara itu seramai kira-kira 700 lagi ahli Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu(RUM) dikenalpasti bakal menghadapi tindakan disiplin kerana terlibat dengan piket membantah dan mempertikaikan keberkesanan Datuk Elias Kadir sebagai Presiden KTMB.


KENYATAAN AKHBAR KESATUAN PEKERJA-PEKERJA KTMB DI PAPARKAN UNTUK PENGETAHUAN UMUM.

KENYATAAN MEDIA/AKHBAR
PEMBUANGAN KERJA TANPA NOTIS PEMIMPIN KESATUAN

Sidang akhbar hari ini ingin mengumumkan bahawa seramai sebelas (11) pemimpin Kesatuan Pekerja – Pekerja KTMB terdiri dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Penolong Bendahari Agung empat (4) pemimpin cawangan serta seorang (1) ahli kesatuan, telah “dibuang kerja tanpa notis”, manakala seramai tiga belas (13) pemimpin kesatuan telah “digantung kerja” manakala baki seramai lapan puluh enam (86) iaitu pegawai cawangan serta ahli kesatuan yang menerima “notis tunjuk sebab” sedang dalam proses menunggu giliran gantung kerja seterusnya “dibuang kerja tanpa notis”, pihak KTMB juga sedang mengenalpasti semua ahli-ahli RUM yang berpiket seramai tujuh ratus (700) orang melalui gambar atau video yang dirakam untuk mengambil tindakan tatatertib, tindakan tatatertib yang diambil adalah sekadar ingin menunjukan bahawa prosedur tindakan tatatertib berdasarkan “natural justice” kononnya dipatuhi.

Pembuangan kerja ini adalah disebabkan berikutan tindakan “PIKET” yang dianjurkan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB pada 9 Mei 2014 iaitu menuntut Datuk Elias Kadir, Presiden KTMB ditamatkan perkhidmatan, tindakan Piket ini dilakukan demi “SELAMATKAN KTMB, SELAMATLAH PEKERJA”, bersama ini disertakan “pamplet edaran kesatuan” untuk senang rujukan, sebagai sebab mengapa Datuk Presiden KTMB perlu ditamatkan, mengikut rekod dalam sejarah KTMB, inilah Presiden KTMB yang terburuk prestasinya yang mana pihak kesatuan telah menganugerahkan gelaran “NON PERFORMING PRESIDENT”.
Berdasarkan surat pertuduhan yang diterima tindakan KTMB menggunakan perkataan salah laku sebagai “pekerja” adalah “dengan niat jahat” disebabkan kehadiran pemimpin dan ahli-ahli kesatuan ketika berpiket adalah atas “platform Kesatuan”. Pertuduhan selanjutnya ialah berkaitan kenyataan-kenyataan kesatuan melalui Facebook “Suara RUM” dan “Bena Piket Kesatuan”, kenyataan sedemikian adalah kenyataan rasmi Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, ianya adalah selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) iaitu kesatuan berhak menjalankan aktiviti-aktiviti Kesatuan Sekerja.

KTMB yang diketuai oleh Datuk Elias Kadir selaku Presiden KTMB telah bertindak “ZALIM” dengan mengambil tindakan “pembuangan kerja tanpa notis” atas sebab yang tidak dilakukan di bawah peruntukan “PERJANJIAN BERSAMA”, pembuangan kerja ini diibaratkan satu tindakan “BALAS DENDAM” dan bersifat “PERSONAL”, lebih menjurus satu tindakan menggunakan “undang-undang rimba” yang membelakangkan peruntukan undang-undang, pihak kesatuan dengan tegas menyatakan bahawa Datuk Elias Kadir Presiden KTMB telah “menyalahgunakan kuasa” untuk mengambil tindakan yang tidak bertamadun dan satu penganiayaan kepada pekerja yang menjalankan tanggungjawab sebagai ahli kesatuan selaras dengan Perlembagaan Kesatuan.
Berdasarkan “track record” KTMB dan “government own company (GOC)” maka inilah pertama kali dalam sejarah pembuangan kerja berlaku, pada tahun 1962, Mogok keretapi terbesar dalam negara melibatkan satu tempoh yang panjang selama dua puluh tiga (23) hari tiada seorang pekerja dibuang kerja, malah tindakan itu telah merumuskan satu kejayaan pada ketika itu untuk menikmati gaji bulan berbanding sebelum itu gaji hari, malah melalui tindakan tersebut semua kakitangan awam turut menikmati faedah atas mogok tersebut.

Tindakan pembuangan kerja ini, akan menimbulkan implikasi dan menjejaskan nama baik YAB Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malayisa merangkap Menteri Kewangan berdasarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad adalah milik Kementerian Kewangan yang diperbadankan, makanya tindakan Presiden KTMB secara langsung telah terpalit kepada Kementerian Kewangan yang mewakili Kerajaan Malaysia iaitu seolah-olah Presiden KTMB dengan sengaja cuba memburukkan Kerajaan Malaysia yang saya yakini tidak akan merestui tindakan sebegini apatah lagi ianya bertentangan dengan hak kebebasan bersuara seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagi pihak Majlis Eksekutif kami memohon, YAB Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia segera campurtangan dengan menyelesaikan kemelut ini dengan segera, demi memastikan tiada pekerja dan keluarga mereka teraniaya dengan tindakan “ZALIM” yang dilakukan oleh Datuk Elias Kadir, Presiden KTMB.
Sekian, terima kasih

Yang menjalankan tugas,
(ABDUL RAZAK MD HASSAN)
Presiden