Saturday, November 26, 2011

MTUC isytihar ‘perang’ jika BN enggan batal pindaan Akta Kerja


Oleh Shannon Teoh
November 27, 2011

Sebahagian daripada perwakilan yang mengikuti sidang Kongres Nasional PKR. – Foto oleh Choo Choy May

JOHOR BARU, 27 Nov — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan badan

induk pekerja itu akan mengisytihrkan perang ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) jika Rang Undang-undang Kerja 1955 dipinda di Dewan Negara 12 Disember ini.

MTUC sebelum ini membantah pindaan terbaru yang menyediakan peruntukan kontroversial sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

Ia telah mengadakan piket pada 3 Oktober lalu di pekarangan Parlimen dan peringkat nasional pada 3 November. Seterusnya, satu perhimpunan di Shah Alam pada 2 Disember ini.

Setiausaha Kewangannya Alias Awang Ibrahim berkata, badan induk itu yang dianggotai 390 kesatuan akan menyokong mana-mana parti politik yang berjanji akan meminda pindaan-pindaan yang dibawa ke atas Akta Kerja sekarang.

“Jika ia diluluskan di Dewan Negara pada 12 Disember, maka MTUC akan mengisytiharkan perang ke atas mereka (kerajaan). Tiada ruang untuk berkompromi,” kata beliau pada Kongres Nasional PKR di sini hari ini.

Alias Awang Ibrahim
Pindaan itu sudah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu dan kini tunggu giliran Dewan Negara.

MTUC sudah pun memberi amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa 5.7 juta pekerja akan membuat keputusan dalam pilihan raya umum ke-13 jika pentadbirannya enggan mendengar suara mereka.

Kongres itu telah menulis surat kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi belum ada perkembangan positif setakat ini.

Minggu lalu, Pengerusi MTUC Bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya akan mengadakan perhimpunan di Shah Alam pada 2 Disember ini, tindakan susulan bagi menggesa Putrajaya agar menarik balik pindaan kontroversial Akta Kerja.

Perhimpunan dua jam itu akan merumuskan pendirian seterusnya dan deklarasi bagi menggesa kerajaan membatalkan peruntukan berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mtuc-isytihar-perang-jika-bn-enggan-batal-pindaan-akta-kerja/

Friday, November 25, 2011

Mahkamah: Kesatuan sekerja ada imuniti, tidak boleh disaman


November 24, 2011



KUALA LUMPUR, 24 Nov ― Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan kesatuan sekerja menikmati imuniti mutlak daripada disaman di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Hakim Datuk V T Singham berkata Seksyen 22(1) akta itu memberikan perlindungan kepada kesatuan sekerja daripada mana-mana saman yang difailkan di mahkamah, malahan jika pun, wakil kesatuan telah memfitnah pihak satu lagi(majikan).

“Mungkin sudah tiba masanya bagi penggubal undang-undang untuk menimbangkan secara serius sama ada perbuatan fitnah tort, jika dilakukan oleh atau mewakili pihak kesatuan sekerja dan malahan jika ia dilakukan ketika sedang dipertimbangkan atau pelanjutan pertikaian sekerja, patut diberikan perlindungan imuniti seperti di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 22 akta itu,” katanya.

Hakim Singham juga berkata adalah sangat jelas di bawah seksyen itu bahawa mahkamah tidak sepatutnya melayani sebarang saman terhadap kesatuan sekerja.

Oleh yang demikian, beliau menolak saman fitnah yang dikemukakan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan setiausaha agungnya J Sandagran Solomon.

Hakim Singham membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan NUBE untuk membatalkan saman itu atas alasan mereka mempunyai imuniti mutlak sebagai kesatuan sekerja mengikut Seksyen 22(1) akta itu, lapor Bernama Online.

Beliau juga memerintahkan Maybank membayar RM15,000 sebagai kos kepada para defendan.

Maybank memfailkan saman itu pada 22 April tahun ini, mendakwa Solomon, bertindak mewakili dirinya sendiri dan NUBE, pada Februari atau Mac tahun ini telah menerbitkan artikel mengandungi kenyataan berbaur fitnah mengenai syarikat itu dalam laman web NUBE.

Ia mendakwa kenyataan itu bermaksud plaintif telah menjalankan hal ehwalnya secara tidak amanah dengan mahu menggunakan dananya untuk manfaat pengurusan kanannya sahaja dengan meminggirkan pekerjanya.

Para defendan menyatakan kenyataan itu berkaitan dengan pertikaian yang sedang berlaku di antara plaintif dan NUBE berhubung dakwaan pemberian bonus yang kurang kepada staf peringkat bawahan syarikat itu.

Mereka berkata pertikaian itu telah berlarutan sejak 2009 dan berterusan sehingga sekarang.

MTUC adakan perhimpunan desak kerajaan batal pindaan Akta Kerja 2 Dis


TERKINI @ 11:40:45 AM 24-11-2011
Oleh G. Manimaran
November 24, 2011



Susulan dua piket MTUC sebelum ini perhimpunan menggesa pindaan Akta Kerja 1955 ditarik balik akan diadakan 2 Disember. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 24 Nov — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Shah Alam, Selangor pada 2 Disember ini — tindakan susulan bagi menggesa Putrajaya agar menarik balik pindaan kontroversial Akta Kerja 1955.

Perhimpunan dua jam itu akan merumuskan pendirian seterusnya dan deklarasi bagi menggesa kerajaan membatalkan peruntukan berkaitan dengan sistem kontrak bagi tenaga kerja.

Pengerusi MTUC Bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi berkata masa dan lokasi telah pun diputuskan semalam.

“Kita memutuskan untuk mengadakan pada hari kerja, selepas waktu kerja di dewan Seksyen 19 Shah Alam,” kata beliau.“Kami memutuskan untuk mengadakan 2 Disember, selepas waktu kerja supaya orang ramai termasuk pemimpin-pemimpin kesatuan boleh berhimpun selepas waktu kerja,” katanya memberi sebab kepada pemilihan tarikh itu.

Sebelum ini beliau berharap agar perhimpunan itu dapat diadakan pada 3 Disember sebagai simbolik kepada dua piket sebelum ini yang berlangsung pada 3 Oktober dan 3 November lalu.

“Kami menjangkakan kehadiran sekitar 3,000 orang, kami juga menjemput pertubuhan dan pemimpin sivil agar sertai perkhimpunan ini... MTUC akan menyampaikan mesej yang jelas mengenai pindaan terbaru membabitkan Akta Kerja ini,” kata beliau lagi.

Majlis Am MTUC telah memutuskan untuk mengadakan tindakan susulan ini, kali ini dipanggil sebagai perhimpunan bagi meneruskan tekanan ke atas kerajaan supaya membatalkan pindaan Akta Kerja khususnya peruntukan berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja, Ahad lalu.

Bagaimanapun tarikh khusus dan tempat diputuskan semalam.

Kata beliau, MTUC memutuskan bahawa kerajaan wajar mengambil tindakan membatalkan pindaan undang-undang perburuhan itu.

“Tiada jalan lain kecuali kerajaan menarik balik rang undang-undang ini... pendirian MTUC,” kata beliau awal minggu ini.

Piket pertama diadakan di pekarangan bangunan Parlimen beberapa hari sebelum Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan oleh Dewan Rakyat dan piket susulan peringkat nasional secara serentak di 18 lokasi di seluruh negara sebulan kemudian,



Rang undang-undang itu kini menunggu giliran Dewan Negara untuk meluluskannya.

Pada 8 November lalu, susulan piket kedua MTUC, Kementerian Sumber Manusia menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk membatalkan peruntukan sistem kontraktor bagi tenaga yang dimasukkan menerusi pindaan Akta Kerja 1955.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menggugurkan pindaan tersebut walaupun MTUC telah mengadakan piket secara besar-besaran sebagai tanda protes.

Bahkan kata beliau, pihaknya masih lagi membuka pintu perbincangan dengan badan induk kesatuan sekerja berkenaan supaya mereka mendapat gambaran jelas tentang peruntukan baru itu.

MTUC, juga sebelum ini berkata, mahu membawa perkara berkenaan kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia telah mengadakan piket sebelum ini kerana tidak puas hati dengan pindaan yang membolehkan kewujudan sistem kontraktor tenaga kerja secara sah di negara ini.

Ia mendakwa sistem tersebut akan membuatkan seseorang pekerja bekerja untuk kontraktor sebagai majikan utama, menyebabkan majikan utama seperti syarikat atau organisasi yang menggunakan pekerja-pekerja terbabit tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja.


http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mtuc-adakan-perhimpunan-desak-kerajaan-batal-pindaan-akta-kerja-2-dis/