Friday, January 13, 2012

APA SUDAH JADI PADA CEO GLC? KESATUAN PEKERJA-PEKERJA KTMB (RUM) TURUT DESAK KERAJAAN TAMATKAN KONTRAK CEO !



Kenyataan Presiden KTMB serta kenyataan Presiden RUM dalam NST (Business Times) 13/1/2012 mengenai Due Diligence oleh MMC yang berhasrat mengambil alih KTMB telah dilihat sebagai pertembungan antara dua pendapat yang berbeza.

RUM meletakkan punca kesalahan sehingga perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan dan kelemahan Presiden KTMB yang gagal membawa pembaharuan malah telah mengakibatkan KTMB tidak mampu menjadi syarikat pengangkutan berdaya asing.

Kerugian menjadi bertambah besar berikutan Presiden KTMB hilang punca untuk mencari arah bagaimana meningkatkan prestasi KTMB. RUM tegas dan berpegang teguh kepada kenyataannya yang terdahulu iaitu Presiden KTMB TIDAK LAYAK menerajui KTMB. Sehubungan dengan itu RUM terus mendesak kerajaan melalui Perdana Menteri agar Presiden KTMB ditamatkan kontraknya sepertimana yang telah diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan piket ahli-ahli RUM pada 7/9/2010 dan 29/7/2011.


RUM turut menegaskan dalam kenyataan rasminya bahawa demi kepentingan Pekerja, KTMB dan Rakyat, kerajaan perlu memandang serius tentang kegagalan Dr Aminuddin Adnan selaku Presiden KTMB dgn menamatkan kontrak. Perlantikan perlu dibuat dari kalangan warga KTMB atau individu yg benar2 berkemampuan dan hendaklah dipastikan individu berkenaan adalah seorang ketua (leader) yang berwibawa dalam perspektif memahami keperluan Keharmonian Dalam Perhubungan Perusahaan.

Kerajaan sewajarnya meneliti perkembangan-perkembangan mutakhir di pelbagai pengurusan GLC yang kini kian menunjukkan prestasi yang merundum dan membimbangkan. Rakyat dan pekerja-pekerja syarikat GLC tertarik dengan ulasan Perdana Menteri baru-baru ini supaya semua CEO Syarikat GLC bersedia untuk memikul kesan dan akibat dari kegagalan pengurusan mereka mencapai prestasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Sudah tiba masanya Perdana Menteri bertindak menyelamatkan Syarikat-Syarikat GLC bagi memastikan pelabur,pekerja dan rakyat terus yakin dengan rancangan tranformasi negara yang menjadi keutamaan dan solusi kepada kebangkitan Malaysia dalam agenda memperkukuhkan ekonomi negara.

Ulasan wob-Sesuai & molek jika Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) dan Kesatuan Persatuan TNB jalankan serentak piket pada hari yang sama jika CEO KTMB & CEO TNB tidak digantikan dengan CEO baru

Thursday, January 12, 2012

KESATUAN DAN PERSATUAN HILANG KEYAKINAN KEPADA PRESIDEN/CEO TNB

7 Januari 2012, Proton, Shah Alam : Pemimpin Utama Kesatuan dan Persatuan TNB yang terdiri dari TNBJOU,KPPPTNB & PETNB telah menyampaikan sepucuk surat dan
memorandum kepada Perdana Menteri yang mengandungi sebab-sebab utama mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden/CEO TNB.

Sehubungan itu mereka juga mahukan Perdana Menteri menamatkan kontrak perkhidmatan Presiden/CEO TNB - Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor (photo) dan menggantikannya dengan kepimpinan dalaman TNB yang lebih berwibawa dalam menangani krisis kewangan dan bekalan bahan api di TNB yang berlarutan sejak sekian lama.

Tindakan segera oleh Perdana Menteri dapat meningkatkan keyakinan pekerja dan mengujudkan persepsi positif atas keprihatinan pihak kerajaan selaku pemegang saham terbesar Syarikat. Selain itu ianya juga bagi mengelakkan ujudnya pertikaian dalaman berterusan di TNB termasuk piket seluruh negara yang akan menggugat Keharmonian Perhubungan Perusahaan di Tenaga Nasional Berhad.

Sebagai rekod, Kesatuan dan Persatuan pernah menulis surat berhubung isu-isu dalaman TNB pada tahun 2009 dan 2011 kepada Perdana Menteri. Hasil dari surat-surat yang dimajukan itu telah diadakan 2 pertemuan dengan Perdana Menteri di Bangunan Parlimen dan di Pejabat Perdana Menteri pada 4/11/2009 dan 6/1/2010. Meskipun
begitu kontrak perkhidmatan Presiden/CEO telah dilanjutkan oleh kerajaan dengan alasan tertentu seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah kepada Kesatuan dan Persatuan ketika itu.

Kali terakhir Kesatuan di TNB menjalankan piket adalah pada tahun 2006 berkaitan isu Bahagian Bacaan Jangka (keahlian TNBJOU)iaitu selepas 2 tahun Dato' Sri Che Khalib dilantik sebagai CEO TNB setelah ditukarkan dari Keretapi Tanah Melayu Berhad. Namun isu hilang kepercayaan terhadap CEO TNB pada kali ini adalah dikepalai oleh 2 Kesatuan dan 1 Persatuan di TNB iaitu TNBJOU, KPPPTNB dan PETNB yang merangkumi 25 ribu ahli yg merupakan pekerja bukan teknikal, pekerja teknikal dan Eksekutif TNB. Ini adalah kali pertama dalam sejarah 64 tahun ujudnya Kesatuan dalam perkhidmatan CEB,NEB,LLN dan TNB bergabung tenaga untuk menentang kepimpinan pengurusan yang disifatkan tidak mementingkan golongan bawahan serta diterajui oleh seorang CEO yang mempunyai sifat keegoaan yang tinggi.Kesatuan dan Persatuan amat memahami kesibukan Perdana Menteri dalam menangani masalah negara ketika ini dan berharap satu maklumbalas segera dapat diambil oleh Perdana Menteri terhadap kandungan surat yang dimajukan.









Surat Kesatuan Dan Persatuan TNB Kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia


Ruj. Kami : PETNB/KPPPTNB/KPPRTNB 01/11

Tarikh : 6 Januari 2012

Kepada : YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Daripada :
i) Persatuan Eksekutif TNB (PETNB)
Tenaga Nasional Berhad

ii) Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja (KPPPTNB)
Tenaga Nasional Berhad

iii) Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah (KPPRTNB)
Tenaga Nasional Berhad

YAB Datuk Seri,

KESATUAN DAN PERSATUAN TNB HILANG KEYAKINAN TERHADAP
KEPIMPINAN DATO’ SRI CHE KHALIB SELAKU PRESIDEN/KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
TENAGA NASIONAL BERHAD


Salam hormat dan salam sejahtera YAB Perdana Menteri. Perkara tersebut di atas adalah dirujuk.

2. Kesatuan dan Persatuan TNB yang terdiri dari Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) dan Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) yang mewakili lebih 25 ribu ahli-ahli ingin memaklumkan kami semua telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad.

3. Krisis kekurangan bekalan gas telah berlarutan dari bulan Januari 2011 hingga sekarang dan menyebabkan Syarikat mengalami kerugian berbilion ringgit. Hasil lawatan Kesatuan dan Persatuan TNB ke Petronas Gas pada 28/12/11 membuktikan Pengurusan TNB di bawah kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor tidak cekap dalam pengurusan bahan api dan telah gagal menyediakan plan tindakan jangkamasa panjang dan jangkamasa pendek yang sesuai bagi mengatasi masalah kekurangan gas.

4. Hal ini bukan sahaja menjejaskan prestasi syarikat dan pekerja malahan turut menyebabkan pelabur gagal mendapat pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang telah dibuat. Adalah dibimbangi keadaan ini lambat laun akan menyebabkan rakyat di negara ini terpaksa menangggung kos peningkatan bahan api dan kehilangan keyakinan pelabur terhadap pengurusan bekalan elektrik negara.

5. Kesatuan dan Persatuan amat bimbang bekalan elektrik negara akan terputus kerana keadaan stesen janakuasa yang menggunakan bahan api gantian (distillates) kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal kesan menggunakan bahan api gantian sejak kira-kira lebih setahun lalu.

6. Sehubungan dengan itu, Kami memohon supaya YAB Perdana Menteri dapat menimbangkan secara serius dengan mengambil tindakan segera memulihkan operasi dan kewangan TNB dengan melantik seorang Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif baru. Kesatuan dan Persatuan mencadangkan supaya pemimpin dalaman TNB yang lebih berwibawa dilantik ke jawatan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif untuk memastikan perkhidmatan TNB kepada rakyat dan negara dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

7. Bersama-sama ini dilampirkan isu-isu yang menyebabkan Kesatuan dan Persatuan TNB hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad untuk makluman YAB Perdana Menteri.


Sekian, Salam 1Malaysia.

‘RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN’




ISU-ISU UTAMA KESATUAN DAN PERSATUAN BERHUBUNG
PENGURUSAN TENAGA NASIONAL BERHAD


Berikut adalah isu-isu utama Kesatuan dan Persatuan Tenaga Nasional Berhad (Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB), Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) yang menimbulkan rasa tidakpuashati dan menyebabkan kami dan ahli-ahli hilang keyakinan terhadap kepimpinan Pengurusan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad.

1. Ketidakcekapan Pengurusan TNB


• Pengurusan bahan api yang tidak cekap hingga menyebabkan TNB mengalami kerugian dan mengakibatkan situasi bekalan elektrik negara berada dalam keadaan tidak selamat. Penggunaan bahan api gantian telah mengakibatkan tarbine janakuasa elektrik gas TNB mengalami keadaan yang tidak selamat dan memungkinkan gangguan bekalan elektrik berlaku kepada negara. Kegagalan menyediakan perancangan jangkamasa pendek dan panjang bagi mengatasi masalah kekurangan gas bersubsidi dan bahan api.
• Info hasil lawatan Kesatuan dan Persatuan TNB ke Petronas Gas Berhad pada 28/12/11 membuktikan pihak Petronas telah memaklumkan masalah kekurangan bekalan gas sejak sekian lama kepada TNB tetapi tiada usaha-usaha proaktif dilakukan TNB untuk mengatasinya.
• Kegagalan TNB menjalankan operasi janakuasa berkuasa arang batu telah menyebabkan penggantungan berlebihan terhadap gas bersubsidi.
• Kegagalan mengujudkan hubungan yang baik antara Petronas dan TNB hingga menimbulkan perbalahan melalui media dan memberikan persepsi yang tidak baik terhadap hubungan antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
• Pengurusan Petronas selaku pembekal gas bersubsidi kepada TNB telah membuat kenyataan pengurusan TNB tidak cekap dalam menguruskan bahan apinya.

2. Pembatalan Usahasama Pemilikan Lombong Arang Batu di Indonesia


• TNB pernah memegang 92.5% dari TNB Coal International Limited yang mempunyai hak perlombongan arangbatu di Kalimantan, Indonesia.
• Setakat Februari 2009, TNB menggunakan 15.7% arangbatu untuk menjana tenaga dan terpaksa membayar pada harga pasaran yang tinggi bila kenaikan harga arangbatu yang berlaku sekarang.
• Kesan dari penjualan lombong arangbatu di Kalimantan, Indonesia pada tahun 2006 juga telah menyebabkan TNB mengalami kerugian yang banyak dari segi perniagaan, tiada sesiapapun dari pihak pengurusan tertinggi yang mengambil tanggungjawab terhadap kerugian tersebut.
• Mengambilkira kenaikan harga pasaran arangbatu semasa, maka jumlah kerugian yang ditanggung oleh TNB dengan menggunakan gas kini berlipat ganda kepada RM300 - 350 juta setiap bulan.

3. Perlantikan orang luar mengisi jawatan utama dan pertengahan (top and middle management)

• Masih terdapat kekosongan jawatan utama dan pertengahan di TNB diisi dengan melantik pihak-pihak dari luar TNB ke jawatan tersebut. Hal ini menutup peluang kenaikan pangkat anggota kerja dalaman dan sekaligus mengenepikan peranan yang mampu dilakukan oleh pengurusan dalaman TNB.
• Kegagalan melantik calun-calun yang layak dari dalam TNB membuktikan pengurusan Dato’ Sri Che Khalib tidak mempunyai keyakinan terhadap pekerja TNB sendiri.

4. Arahan membatalkan bacaan meter setiap bulan (By Monthly Reading)

• Kesatuan membantah pelaksanaan bacaan secara By Monthly Reading yang diperkenalkan oleh pengurusan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad kerana ianya membebankan pengguna.
• Bacaan meter setiap bulan secara normal telah dibatalkan dan ditukar secara berselang seli dengan bil anggaran yang dihantar melalui Syarikat Pos Malaysia.
• Kegagalan bacaan meter setiap bulan menyebabkan jumlah aduan dari rakyat terhadap mutu perkhidmatan TNB telah meningkat secara mendadak.
• Rakyat mempersoalkan kredibiliti TNB dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

5. Outsourcing dan Kerja-Kerja Kontrak

• Kerja-kerja utama termasuk Penyambung Kabel, Pekerja Talian Atas, Pekerja Pencawang, Juruwang, Pemotong Bekalan, Operator Pusat Panggilan Pengguna dikontrakkan meskipun jawatan tersebut telah termaktub dalam Perjanjian Kolektif tanpa persetujuan Kesatuan dan Persatuan.
• Pekerja-pekerja TNB kini beransur-ansur hilang kepakaran dan kompetensi kerana hanya menjalankan kerja-kerja penyeliaan sahaja. Kerja-kerja utama telah diambilalih oleh pihak kontraktor.
• TNB kini bergantung kepada khidmat kontraktor untuk menjalankan operasinya.
• Terdapat kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang tidak menepati tahap spesifikasi dan kualiti TNB sehingga menyebabkan kekerapan kerosakan dan anggota kerja TNB terpaksa melakukan semula kerja-kerja berkenaan.

6. Pengisian Kekosongan Jawatan


• Pihak syarikat juga gagal mengisi kekosongan jawatan yang ujud kesan dari persaraan pekerja dan tambahan beban kerja yang berlaku.
• Peningkatan beban kerja yang ketara kerana bilangan anggota kerja tidak ditambah selari dengan peningkatan pengguna.

7. Halangan terhadap aktiviti Kesatuan


• Kesatuan dan Persatuan TNB telah dihalang untuk mengadakan sesi perjumpaan bersama ahli-ahli di premis dewan TNB, Paka, Terengganu.
• Permohonan cuti atas urusan Kesatuan untuk tujuan Lawatan Kerja ke Petronas Gas Berhad, Paka dan perjumpaan bersama ahli-ahli di Paka, Terengganu telah dibatalkan disaat-saat akhir program dilakukan.
• Kesatuan dan Persatuan TNB terpaksa menumpang ruangan masjid di Kg Pinang Merah, Paka untuk mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli.
• Kesatuan dan Persatuan juga terpaksa mengadakan kutipan derma kilat bagi membiyai program perjumpaan tersebut.
• Insiden ini membuktikan pengurusan TNB di bawah kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor tidak mengutamakan Keharmonian dalam Perhubungan Perusahaan.

Sebelum itu CEO juga telah menggunakan kesempatannya berucap semasa merasmikan Mesyuarat Agung PERUNIKA di Johor Bahru untuk menempelak kepimpinan Kesatuan dan Persatuan yang hadir dalam majlis tersebut semata-mata kerana beliau merasa marah terhadap tuntutan bonus muktamad yang dibuat oleh Kesatuan dan Persatuan TNB. Hal ini membuktikan CEO tidak rasional dalam tindakannya kerana tidak menghormati majlis dan kepimpinan utama Kesatuan dan Persatuan TNB.


Penutup dan Syor


Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) dan Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) dengan ini mengambil ketetapan,

1. Kerajaan melantik segera Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif baru untuk Tenaga Nasional Berhad

2. Tujuh isu utama yang tersenarai diambil tindakan susulan dan diselesaikan bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan anggota kerja terhadap organisasi TNB.

Dengan Ini, Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) dan Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) memohon perhatian YAB Perdana Menteri membantu menyelesaikan isu-isu yang dinyatakan pada kadar segera.

Ianya juga bagi mengujudkan persepsi positif atas keprihatinan pihak kerajaan selaku pemegang saham terbesar Syarikat dan keyakinan terhadap anggota kerja TNB untuk mengelakkan ujudnya pertikaian dalaman yang boleh menggugat Keharmonian Perhubungan Perusahaan di Tenaga Nasional Berhad.

Perhatian dan tindakan sewajarnya dari Y.A.B Perdana Menteri amatlah dihargai.


KESATUAN DAN PERSATUAN TNB TIDAK AKAN HADIRI MAJLIS TNB


3 Januari 2012
: Kesatuan dan Persatuan TNB memutuskan secara bersama dan bersetuju tidak akan menghadiri mana-mana majlis rasmi yang melibatkan Dato' Sri Che Khalib Mohamad Nor - Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB. Tindakan ini

diambil selari dengan keputusan memajukan isu-isu TNB dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan CEO TNB kepada Perdana Menteri.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB itu juga sebelum ini telah menggunakan ruang ucapannya di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PERUNIKA di Hotel Selesa, Johor Baharu untuk menempelak pemimpin-pemimpin Kesatuan didepan tetamu yang menghadiri majilis tersebut kesan dari ketidak puasan hatinya terhadap desakan Kesatuan / Persatuan TNB mengenai isu bayaran bonus. Malahan beliau telah merendahkan imej dan kredibiliti pemimpin-pemimpin utama Kesatuan / Persatuan TNB di majlis tersebut dengan mengumpamakan mereka sebagai juara kampung atau dalaman semata-mata kerana pemimpin Kesatuan dan Persatuan TNB tidak menyatakan sokongan terhadap syarikat apabila TNB dituduh sebagai 'tidak effision' oleh CEO Petronas.

Kesatuan / Persatuan TNB terpaksa bertindak untuk mempertahankan maruah organisasi Kesatuan / Persatuan dan memulihkan keyakinan ahli-ahli terhadap peranan Kesatuan / Persatuan TNB yang telah ujud sejak 64 tahun lalu. Sudah banyak kali insiden demi insiden pergeseran antara Kesatuan / Persatuan dan CEO TNB berlaku sejak hampir 8 tahun lalu tetapi pihak Kesatuan / Persatuan TNB telah cuba mengamalkan sikap toleransi yang tinggi, namun sejak akhir-akhir ini serangan terhadap pemimpin Kesatuan / Persatuan TNB telah melampaui sempadan yang meminggirkan Keharmonian Dalam Perhubungan Perusahaan.


LAWATAN KESATUAN DAN PERSATUAN TNB KE PETRONAS GAS BHD

28December 2011 Kerteh, Terengganu : Seramai 14 Pemimpin Utama Kesatuan dan Persatuan TNB telah melakukan lawatan Kerja sehari ke Petronas Gas Bhd meskipun terdapat usaha-usaha mengenakan sekatan terhadap program tersebut dari pengurusan TNB. Lawatan Kerja ini bertujuan

menjalin ukhuwah antara Kesatuan dan Persatuan TNB dengan Pengurusan Petronas Gas Berhad dan Kesatuan Pekerja Petronas (KAPENAS). Mereka telah disambut mesra oleh Tn Hj Rashid Muhamad (Pengurus Besar Kanan) dan Pengurusan tertinggi Petronas Gas Bhd dan En Maliki - Presiden KAPENAS. Selain dari taklimat penuh terdapat juga beberapa info penting telah dimaklumkan oleh Pengurusan Petronas Gas Bhd terhadap punca masalah dan perancangan bekalan gas negara. Kesatuan juga mendapatkan penjelasan terhadap kenyataan media CEO Petronas berhubung ‘ketidak cekapan Pengurusan TNB’ seperti dilaporkan media. Lawatan diakhiri dengan taklimat di tapak logi bekalan dan pusat kawalan gas selepas sesi makan tengahari dan bertukar cenderahati sebagai tanda kerjasama antara Kesatuan Persatuan TNB dan pihak Petronas Gas Bhd.


PERJUMPAAN KESATUAN PERSATUAN BERSAMA AHLI-AHLI TNB PAKA DIHALANG!


28 December 2011 - Pemimpin Utama TNBJOU & KPPPTNB terpaksa mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli TNB Paka, Terengganu di dewan masjid setelah pihak TNB membatalkan kebenaran untuk sesi perjumpaan tersebut diadakan di premis TNB.
Ahli-ahli telah melakukan derma kilat bagi menampung kos sewaan dewan dan makan
minum program tersebut. Halangan juga dikenakan ke atas pemimpin Kesatuan dan Persatuan dengan tidak meluluskan cuti Kesatuan untuk program Lawatan Kerja ke Petronas dan sesi perjumpaan dengan ahli-ahli tersebut. Kesatuan menganggap tindakan-tindakan majikan sejak mutakhir ini adalah satu peristiharaan ‘perang’ ke atas aktiviti Kesatuan dan Persatuan di TNB.

http://tnbjou.blogspot.com/2012/01/kesatuan-dan-persatuan-hilang-keyakinan.html