Oleh G Manimaran
December 19, 2011
KUALA LUMPUR, 19 Dis — Kesatuan-kesatuan gabungan berpendirian tegas mahu membawa usul undi tidak percaya ke atas kepimpinan tertinggi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meskipun presidennya Khalid Atan mengajak pihak-pihak terbabit membincangkan apa jua pertikaian secara dalaman.
The Malaysian Insider difahamkan usul itu akan dibawa ketika mesyuarat majlis am MTUC yang dijangka akan diadakan awal tahun depan. MTUC akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja 29 Disember ini.
Melahirkan sokongan kepada usul yang hendak dibawa oleh Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad, Setiausaha Kesatuan Pekerja-pekerja Perodua Mohd Khir Mansor berkata,
pihaknya mahu menggerakkan langkah itu memandangkan pucuk kepimpinan MTUC tidak memperlihatkan keseriusan dalam menangani isu pindaan Akta Kerja.
Usul kesatuan itu membabitkan kedudukan presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung.
Menurut Mohd Khir, pihaknya mempunyai sokongan yang memadai untuk mengambil tindakan itu ke atas mereka.
“Usul seperti ini sebenarnya telah dibawa ketika mesyuarat majlis am (akhir Oktober lalu) tetapi Setiausaha Agung (Halim Mansor) dimaafkan selepas meminta maaf ... kami beri peluang.
“Tetapi nampaknya, Setiausaha Agung dan Presiden (MTUC) tidak memperlihatkan perubahan yang diharapkan selepas itu, jadi kami tiada pilihan membawa usul ini sekali lagi membabitkan lebih ramai pemimpin kanan,” kata Mohd Khir kepada The Malaysian Insider dalam satu pertemuan di sini.
Dalam laporan The Malaysian Insider kelmarin, Khalid (gambar) yang baru genap setahun mengetuai MTUC mengajak kesatuan gabungannya yang mempertikaikan kepimpinan berhubung kontroversi pindaan Akta Kerja agar menyelesaikan apa jua krisis dan rungutan secara dalaman.
Khalid dan Halim bertanding dalam satu ‘pasukan’ Disember 2010.
Khalid memberitahu, pertengkaran menerusi media hanya akan memberi gambaran buruk tentang MTUC di kalangan orang luar.
Sejak seminggu lalu, beberapa kesatuan gabungan mempertikaikan kepimpinan MTUC dengan mendakwa pemimpin-pemimpin tertinggi badan induk kesatuan sekerja itu membisu dan tidak melayan permintaan agar diadakan mesyuarat khas majlis am membincangkan isu pindaan Akta Kerja.
Khalid berkata, MTUC akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pada 29 Disember
ini dan disusuli dengan mesyuarat exco bagi membincangkan perkembangan terbaru mengenai isu Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011).
Kedua-dua mesyuarat itu dijangka akan menentukan tarikh mesyuarat majlis am, yang diminta kesatuan gabungan dan agendanya.
MTUC memprotes Rang Undang-undang Kerja khususnya berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.
Sambil mendakwa presiden dan setiausaha agung tidak memperlihatkan sikap proaktif mengenakan tekanan ke atas kerajaan dan gagal memberi gambaran mengenai
perkembangan semasa, Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad (RUM), Abdul Razak Md Hassan berkata, pihaknya akan membawa usul itu pada mesyuarat majlis am MTUC akan datang.
Pengerusi MTUC Selangor-Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam berkata sekitar lima kesatuan gabungan telah pun menulis kepada setiausaha agung MTUC, sejak awal minggu
lalu, meminta dipanggil satu mesyuarat khas majlis am, tetapi nampaknya tiada respons.
MTUC mengadakan piket kebangsaan pada 3 November dan perhimpunan peringkat Selangor-Wilayah Persekutuan, 2 Disember lalu.
Mohd Khir berkata MTUC perlu memperlihatkan keseriusan dalam menyelesaikan isu semasa termasuk melaksanakan keputusan-keputusan dibuat oleh majlis am.
“Kepimpinan perlu serius sebab ini membabitkan kepentingan pekerja, jika kita tidak serius, kerajaan akan menganggap MTUC lemah.
“Lagipun kepimpinan MTUC tidak boleh bertindak di luar keputusan dibuat oleh majlis am MTUC,” katanya dengan merujuk kepada perbincangan yang diadakan oleh beberapa wakil MTUC dengan Kementerian Sumber Manusia berhubung isu pindaan Akta Kerja.
Ketika ditanya sama ada tindakan ini akan melemahkan MTUC, Mohd Khir berkata, pihaknya tidak beranggapan begitu.
“Sebaliknya ia akan memperkukuhkan MTUC, ini melibatkan masa depan pekerja dan kesatuan sekerja,” katanya lagi.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akta-kerja-gabungan-mtuc-serius-mahu-bawa-undi-tak-percaya/