Thursday, March 24, 2011

Nasib Pesara GLC

Ibnu Lazmi

Sewaktu Dr. Mahathir merancang satu dasar kerajaan; iaitu penswastaan, beliau memberikan alasan yang sungguh kukuh iaitu meningkatkan mutu perkhidmatan dan mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Ketika itu kakitangan kerajaan berjumlah 800 ribu orang. Maka bermulalah satu persatu agensi kerajaan diswastakan. Antara yang terawal ialah Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Pos Malaysia. Tercapai atau tidak dasar kerajaan untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam dan meningkatkan mutu perkhidmatan, ianya memerlukan satu kajian dan tulisan lain untuk membincangkannya.

Hasrat kerajaan untuk mewujudkan persaingan yang sihat ternyata tidak menjadi kenyataan. Monopoli tetap wujud walaupun memang ada persaingan. Penswastaan Lebuh Raya Utara Selatan misalnya kepada United Engginering Malaysia Berhad (UEM) yang adalah satu anugerah terbesar kepada UEM yang dikawal oleh Hatibudi Nominees,yang merupakan syarikat pemegang amanah UMNO, parti komponen BN yang menerajui tampuk pemerintahan Negara (Yusof Ismail dan Khayati Ibrahim,2004).

Ini menunjukkan penguasaan kuasa politik dan pentadbiran digunakan untuk mendapatkan kepentingan perniagaan bagi menampung kewangan parti di samping menambahkan kekayaan bagi golongan tertentu serta mengurangkan peluang organisasi lain untuk memperoleh peluang perniagaan. Walaupun mendapat kritikan pelbagai pihak, dasar penswastaan tetap diteruskan sehingga ke hari ini, di samping menimbulkan pelbagai masalah seperti usaha kerajaan Selangor untuk mendapatkan hak membekalkan air Selangor dari pihak Syabas.

Sementara itu, kebanyakan pekerja sektor awam yang diswastakan berasa terancam, manakala sebahagian rakyat Malaysia mengambil sikap apathy (tak apa) atau terus menyokong dasar ini kerana mereka telah bosan dan marah terhadap pembaziran, ketidakcekapan dan rasuah dalam sektor awam. Ramai juga rakyat Malaysia mengaitkan pertumbuhan sektor awam dengan campurtangan kerajaan dan kekuasaan Melayu, kian bertambah di bawah Dasar Ekonomi Baru, dengan demikian menyokong Dasar Penswastaan ini sebagai perubahan dasar yang akan mengurangkan dasar-dasar melampau yang telah menganggu pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Ada juga yang menyalahtafsirkan campurtangan kerajaan sebagai sosialisme, dengan itu menyokong penswastaan sebagai langkah memulihkan kapitalisme yang lebih tulin. Walaupun kapitalisme pemerintah atau Negara tidak bererti sosialisme, ancaman kepada sektor awam terutama perkhidmatan awam, melalui penswastaan mempunyai implikasi kebajikan yang penting untuk rakyat jelata, khasnya pekerja sektor awam, pengguna dan rakyat miskin (Jomo KS,2010).

Kini, Dasar Penswastaan telah berjalan hampir 30 tahun sejak ia mula dirangka oleh MAMPU di bawah jagaan Dr.Mahathir, juga ide dari Dr. Mahathir sejak ia mula diperkenalkan pada 1983. Apakah matlamat utama pensawstaan itu tercapai, umpamanya mengecilkan saiz perkhidmatan dan meningkat mutu perkhidmatan?. Kenyataannya Perkhidmatan Awam kini mempunyai 1.2 juta kakitangan berbanding pada peringkat permulaan era penswastaan hanya 800 ribu orang. Hal ini disebabkan timbulnya jabatan-jabatan dan kementerian baru sesuai dengan perkembangan semasa. Dari segi mutu perkhidmatan ya, mungkin ada peningkatan di samping meningkatkan jumlah konglomerat Bumiputra selaras dengan kehendak DEB. Namun masih terdapat banyak rungutan rakyat marhaen tentang perkhidmatan awam termasuk sektor kesihatan, perguruan,pentadbiran awam dan sebagainya. Bahkan dalam sesetengah keadaan soal politik diserapkan bersama dalam permasalahan perkhidmatan awam. Pelantikan Setiauasa Kerajaan Selangor baru-baru ini memperlihatkan kepentingan politik mengatasi kepentingan pentadbiran awam.

Satu soal yang penting setelah hampir tiga puluh tahun penswastaan, ialah nasib pekerja-pekerja atau kakitangan yang diswastakan. Kini dikatakan kakitangan kerajaan lebih beruntung dari kakitangan swasta terbabit dengan gaji permulaan yang lebih tinggi,elaun yang lebih menarik, kebajikan yang lebih terserlah dan sebagainya. Di peringkat perkeranian umpamanya, kakitangan kerajaan menerima gaji permulaan melebihi RM1000 sebulan berbanding kakitangan syarikat yang diswastakan melalui proses penswastaan. Umpamanya kakitangan Pos Malaysia di peringkat perkeranian hanya menerima RM800 sebagai gaji permulaan. Elaun sewa rumah bagi kakitangan Pos Malaysia (kerani) hanyalah RM150.00 berbanding RM300 bagi kakitangan kerajaan. Begitu juga elaun kolar, atau elaun Bandar, kakitangan Pos Malaysia (kerani) hanya menerima separuh dari apa yang diterima oleh kakitangan awam. Dengan demikian tidak hairanlah jika berlaku penghijrahan semula ke dalam perkhidmatan awam dari Pos Malaysia dan lain-lain syarikat GLC memandangkan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Satu perkara yang lebih penting ialah nasib kakitangan GLC yang telah bersara yang bekerja di zaman swasta dan bekerja di zaman kerajaan. Ertinya mereka merasa bekerja di kedua-dua era, era sebelum penswastaan dan era selepas penswastaan. Mereka ini apabila bersara akan menerima pencen minimum, di sekitar RM200 hingga RM400 sahaja kerana mereka diminta mencarum semula ke dalam skim KWSP sebaik satu-satu syarikat itu diswastakan. Apa yang terjadi ialah simpanan mereka (kerani) tidak melebihi RM200,000 setelah tamat tempuh perkhidmatan. Laporan-laporan yang diterima, termasuk yang didedahkan di mass media tempatan, mereka ini akan kehabisan wang simpanan KWSP dari satu hingga tiga tahun selepas persaraan.

Tinggallah pencen minimum meraka di zaman kerajaan dahulu di sekitar RM200- RM400 sebulan. Apakah yang dapat dilakukan dengan wang sebesar itu pada zaman sekarang?
Tanpa pilihan lain, akhirnya pesara-pesara syarikat kerajaan yang diswastakan ini terpaksa bekerja semula demi untuk menyambung sisa-sisa hayat mereka, dalam keadaan kesihatan yang mungkin sudah mula terganggu dan tenaga sudah berkurangan akibat faktor umur. Sesetengahnya terpaksa menjadi pemandu teksi, menjadi jaga (guard), atau terpaksa menjual nasi lemak demi untuk meneruskan survival hidup ini. Tekanan itu menjadi semakin bertambah andainya mereka masih mempunyai anak yang masih bersekolah di peringkat rendah atau menengah. Teknanan menjadi semakin kuat bila anak-anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS yang memerlukan pembiayaan yang lebih besar. Pinjaman PTPTN ternyata semakin sukar, dan PTPTN hanya sekadar membayar yuran akademik sahaja, selebihnya soal makan dan tempat tinggal (asrama) terpaksa ditanggung oleh keluarga.

Dengan demikian, apakah kebajikan yang dapat diterima oleh golongan ini? Apakah dasar penswastaan membela hidup mereka terutama selepas bersara? Tuntutan Kesatuan Sekerja untuk mendapatkan pencen dan gaji minimum disambut dengan sikap membisu kerajaan BN. Rasuah yang membarah dan PRU13 yang kian hampir menyebabkan tuntutan itu terbenam dalam fail sahaja. Jadi, di manakah dan siapakah yang untung dalam dasar penswastaan ini?

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31412:nasib-pesara-glc&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46