Saturday, April 14, 2012

PERODUA MAKIN PANAS.......................


15 April 2012 : Kilang PERODUA di kawasan perindustrian Rawang sedang berdepan dengan kemungkinan tindakan piket besar-besaran melibatkan 3 Kesatuan Pekerja-Pekerja yang didokongi sokongan padu keahlian seramai lebih enam ribu. Tiga Kesatuan tersebut iaitu Kesatuan Perodua Engine, Kesatuan Perodua Sales dan Kesatuan Pekerja-Pekerja PERODUA telah mengadakan sesi perhimpunan pada 6 April bertempat di kilang mereka untuk memberikan taklimat dan penerangan kepada ahli-ahli mereka .
Sumber malaporkan krisis Kesatuan Pekerja-Pekerja Perodua dan majikan mereka berpunca dari tindakan Syarikat melalui Mr Morita - Managing Director dari Jepun yang baru dilantik ke kilang tersebut. Kilang PERODUA mempunyai rekod perhubungan perusahaan yang baik sejak tertubuhnya kesatuan di kilang tersebut. Kesatuan menuntut supaya satu rundingan diadakan segera berhubung isu-isu arahan Mr Morita yang dianggap menindas pekerja.
Syarikat dilaporkan telah menghadkan dan menentukan masa serta mengarahkan penggunaan pass khas untuk pekerja Islam menunaikan sembahyang . Mereka juga mengarahkan menutup urusniaga kantin pada waktu bekerja dan melarang pekerja membawa bekalan makanan dari rumah atau luar kilang.

Malahan lebih buruk lagi telah memperkenalkan pass khas untuk pekerja pergi ke tandas dalam masa yang singkat dengan tujuan melarang dan menghadkan pergerakan pekerja dari satu unit ke satu unit lain. Pengawal Keselamatan juga diarahkan mengambil tindakan terhadap pekerja yang meninggalkan unit semasa bekerja.
Sehubungan itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja PERODUA telah menghantar satu memorandum mendesak syarikat mengadakan rundingan segera bagi menyelesaikan semua isu tersebut. Kesatuan telah menetapkan untuk mengambil tindakan piket pada 27 April 2012 jam 6.00 pm jika pihak Syarikat gagal mengambil tindakan terhadap permintaan mereka.

Satu perjumpaan antara Majlis Jawatankuasa Kesatuan (MJK) Kesatuan dengan Pengurusan Tertinggi PERODUA Company Sdn Bhd (Managing Director & Excutive Director ) telah diadakan pada 13 April 2012. Desakan kuat Kesatuan dengan sokongan padu ahli-ahlinya telah menyebabkan Syarikat difahamkan akan mengadakan perbincangan seterusnya dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit untuk mengelakkan tindakan piket yang telah dirancang.

1MALAYSIA-MAJIKAN WESTPORTS ZALIM-BUANG 16 PEMIMPIN KESATUAN!!!


Pelabuhan Klang 14 April 2012 : Kesatuan Pekerja-Pekerja WESTPORTS telah mengadakan Perhimpunan Pekerja dengan dihadiri seramai lebih 500 ahli di Dewan Serbaguna Pndamaran Jaya. Perhimpunan yang turut disertai oleh Mantan Presiden MTUC – Tn Syed Shahir Syed Mohamud, Sdr Balassubramaniam , Sdr Mohd Roszeli Majid (kedua-duanya Naib Presiden MTUC Sektor Swasta) serta pemimpin masyarakat tempatan telah disajikan dengan ucapan dan kata-kata semangat dan sokongan bagi merangka langkah berikutnya bagi untuk menangani kemelut isu penubuhan Kesatuan mereka.

Tindakan Pengurusan WESTPORTS yang telah membuang kerja 16 pemimpin Kesatuan Sekerja WESTPORTS amatlah dianggap sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja WESTPORTS,Setiausaha Agung dan Jawatankuasanya telah dibuang kerja semata-mata kerana mereka berusaha menubuhkan Kesatuan Sekerja. Menurut, Presidennya Megat Zamri Megat Abdul Aziz, West Port bertindak menghalang pekerjanya daripada berkesatuan apabila ternyata mereka gagal menubuhkan kesatuan walaupun lebih 10 tahun bekerja di situ.

Malah terdapat 16 orang pimpinan dan ahli kesatuan telah ditamatkan perkhidmatan tanpa sebab dan alasan yang munasabah. Maklumat dari dalaman Pengurusan WESTPORTS juga melaporkan majikan telah menyenaraikan lebih 70 nama pekerja yang merupakan ahli Kesatuan untuk dibuang kerja sebagai satu taktik untuk menakut-nakutkan pekerja.

"Majikan sengaja mengatur perancangan untuk menyebabkan kesatuan kami sering menghadapi masalah," katanya. Sepatutnya, jelas beliau, para pekerja juga bebas berkesatuan di mana ia adalah entiti yang sah di Malaysia sebagaimana diperuntukan dalam Akta Parlimen.

Jelas Megat, dalam pelabuhan-pelabuhan di Malaysia berkesatuan amat digalakkan malah majikan dan pekerja berkerjasama antara satu sama lain seterusnya mencapai penyelesaian dengan perbincangan dan kata sepakat.

Malangnya, kata Megat, WestPorts Sdn Bhd enggan berbuat demikian dan lebih mementingkan kuasa dan sering berperasangka buruk terhadap kaum pekerja yang berkesatuan.

"Majikan kami berniat negatif terhadap semua pemimpin dan ahli ahli kesatuan. Pada mereka sesiapa yang aktif berkesatuan semua hak-hak pekerja akan ditarik balik dan tidak mendapat kelebihan dalam perkhidmatan," katanya.
Kesatuan Pekerja-pekerja WestPorts Malaysia Sdn Bhd telah meminta Ahli Parlimen Pakatan Rakyat campur tangan kerana telah menjadi mangsa diskriminasi majikan. Sebelum ini mereka telah membuat aduan kepada pemimpin MCA dan UMNO tetapi telah dipandang sepi malahan dikatakan isu pekerja-pekerja tersebut adalah isu antara majikan dan pekerja serta tiada kaitan dengan urusan parti mereka.
Dalam masa yang sama Pengurusan WESTPORTS telah membenarkan kelompok minoriti pekerja menubuhkan kesatuan yang baru atas nama Kelab Kebajikan dan Sosial Westports (WJCC) yang sedia ada. Malahan Pengurusan WESTPORTS juga sedang membantu mendaftarkan WJCC sebagai kesatuan yang sah .

Kesatuan Pekerja-Pekerja WESTPORTS yang mewakili lebih 1800 pekerja dijangka akan menganjurkan bantahan secara besar-besaran dengan mengadakan piket dalam masa terdekat. Terdapat usaha-usaha pihak-pihak tertentu untuk membawa isu Kesatuan Pekerja-Pekerja WESTPORTS ke platform antarabangsa melalui sokongan International Transport Workers Federation (ITWF).