Friday, November 25, 2011

MTUC adakan perhimpunan desak kerajaan batal pindaan Akta Kerja 2 Dis


TERKINI @ 11:40:45 AM 24-11-2011
Oleh G. Manimaran
November 24, 2011



Susulan dua piket MTUC sebelum ini perhimpunan menggesa pindaan Akta Kerja 1955 ditarik balik akan diadakan 2 Disember. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 24 Nov — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Shah Alam, Selangor pada 2 Disember ini — tindakan susulan bagi menggesa Putrajaya agar menarik balik pindaan kontroversial Akta Kerja 1955.

Perhimpunan dua jam itu akan merumuskan pendirian seterusnya dan deklarasi bagi menggesa kerajaan membatalkan peruntukan berkaitan dengan sistem kontrak bagi tenaga kerja.

Pengerusi MTUC Bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi berkata masa dan lokasi telah pun diputuskan semalam.

“Kita memutuskan untuk mengadakan pada hari kerja, selepas waktu kerja di dewan Seksyen 19 Shah Alam,” kata beliau.“Kami memutuskan untuk mengadakan 2 Disember, selepas waktu kerja supaya orang ramai termasuk pemimpin-pemimpin kesatuan boleh berhimpun selepas waktu kerja,” katanya memberi sebab kepada pemilihan tarikh itu.

Sebelum ini beliau berharap agar perhimpunan itu dapat diadakan pada 3 Disember sebagai simbolik kepada dua piket sebelum ini yang berlangsung pada 3 Oktober dan 3 November lalu.

“Kami menjangkakan kehadiran sekitar 3,000 orang, kami juga menjemput pertubuhan dan pemimpin sivil agar sertai perkhimpunan ini... MTUC akan menyampaikan mesej yang jelas mengenai pindaan terbaru membabitkan Akta Kerja ini,” kata beliau lagi.

Majlis Am MTUC telah memutuskan untuk mengadakan tindakan susulan ini, kali ini dipanggil sebagai perhimpunan bagi meneruskan tekanan ke atas kerajaan supaya membatalkan pindaan Akta Kerja khususnya peruntukan berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja, Ahad lalu.

Bagaimanapun tarikh khusus dan tempat diputuskan semalam.

Kata beliau, MTUC memutuskan bahawa kerajaan wajar mengambil tindakan membatalkan pindaan undang-undang perburuhan itu.

“Tiada jalan lain kecuali kerajaan menarik balik rang undang-undang ini... pendirian MTUC,” kata beliau awal minggu ini.

Piket pertama diadakan di pekarangan bangunan Parlimen beberapa hari sebelum Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan oleh Dewan Rakyat dan piket susulan peringkat nasional secara serentak di 18 lokasi di seluruh negara sebulan kemudian,



Rang undang-undang itu kini menunggu giliran Dewan Negara untuk meluluskannya.

Pada 8 November lalu, susulan piket kedua MTUC, Kementerian Sumber Manusia menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk membatalkan peruntukan sistem kontraktor bagi tenaga yang dimasukkan menerusi pindaan Akta Kerja 1955.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menggugurkan pindaan tersebut walaupun MTUC telah mengadakan piket secara besar-besaran sebagai tanda protes.

Bahkan kata beliau, pihaknya masih lagi membuka pintu perbincangan dengan badan induk kesatuan sekerja berkenaan supaya mereka mendapat gambaran jelas tentang peruntukan baru itu.

MTUC, juga sebelum ini berkata, mahu membawa perkara berkenaan kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia telah mengadakan piket sebelum ini kerana tidak puas hati dengan pindaan yang membolehkan kewujudan sistem kontraktor tenaga kerja secara sah di negara ini.

Ia mendakwa sistem tersebut akan membuatkan seseorang pekerja bekerja untuk kontraktor sebagai majikan utama, menyebabkan majikan utama seperti syarikat atau organisasi yang menggunakan pekerja-pekerja terbabit tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja.


http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mtuc-adakan-perhimpunan-desak-kerajaan-batal-pindaan-akta-kerja-2-dis/

No comments:

Post a Comment