Wednesday, February 2, 2011

NUBE pertikai daftar kesatuan dalaman bukan eksekutif Maybank

KUALA LUMPUR, 30 Jan 2011 — Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menggesa Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Omana Pillai menyemak keputusan mendaftar kesatuan dalaman pekerja bukan eksekutif Maybank kerana ia bercanggah dengan Seksyen 12 Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata seksyen itu dengan jelas menyatakan bahawa kesatuan sekerja lain tidak boleh didaftarkan jika telah wujud satu kesatuan sekerja yang mewakili pekerja dalam sesebuah syarikat, perniagaan, pekerjaan atau industri.

“Sudah lebih 50 tahun NUBE mewakili 5,000 pekerja Maybank.

“Kami berpendapat Ketua Pengarah mungkin tidak mempunyai maklumat yang berkaitan sepenuhnya ketika menilai permohonan kesatuan dalaman itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berharap pihak pengurusan Maybank tidak terbabit dalam penubuhan kesatuan itu kerana ia terikat dengan perjanjian kolektif sedia ada bersama NUBE.

“Namun, jika didapati kesatuan dalaman itu ditubuhkan dengan restu pihak pengurusan Maybank, NUBE tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga kepentingan dan kebajikan anggotanya,” katanya.

Sementara itu, Bernama difahamkan bahawa jawatankuasa sementara kesatuan dalaman tersebut didominasi bekas anggota NUBE dan ia mungkin mempunyai kaitan dengan isu bonus.

NUBE mempunyai pertikaian dengan Maybank berhubung isu bonus sejak Jun 2009.

Ia menuntut bonus sebanyak 80 bulan untuk anggotanya berdasarkan rasional bahawa pengurus kanan dan pegawai kontrak bank itu mendapat bonus lapan bulan setiap tahun sejak sepuluh tahun lepas, yang tidak diberikan kepada anggota NUBE.

Naib presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A. Balasubramaniam pula menyifatkan penubuhan kesatuan dalaman itu sebagai satu “cara halus untuk memusnahkan kesatuan sekerja”, dan ia sesuatu yang tidak sihat bagi keharmonian industri di negara ini. — Bernama

No comments:

Post a Comment