December 29, 2010
PETALING JAYA, 29 Dis – Kesatuan-kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dikehendaki mengemukakan tuntutan gaji minimum RM1,200 apabila mengadakan rundingan perjanjian bersama (CA) tiga tahun sekali mulai sekarang.
Dengan resolusi diluluskan hari ini, pekerja-pekerja yang diwakili MTUC, akan diperjuangkan gaji sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan.
Keputusan ini diambil di sebalik keputusan kerajaan yang baru-baru ini telah meluluskan pendirian mahu memperkenalkan dasar gaji minimum nasional mulai tahun depan, tetapi kadarnya belum diputuskan lagi.
Dalam tuntutan gaji minimum sebelum ini, MTUC meletakkan gaji asas RM900 dan elaun kos sara hidup pula RM300.
“Kita hendak mengemukakan cadangan kepada kesatuan-kesatuan gabungan supaya memasukkan tuntutan gaji minimum, bermakna tidak semestinya apa yang kita minta dapat tetapi sasaran kita ialah RM1,200,” kata Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud pada sesi perbahasan usul persidangan tiga tahunannya di sini petang ini.
“(Mulai sekarang) kesatuan gabungan apabila mengadakan perundingan CA, perlu mengemukakan perkara ini untuk pertimbangan (majikan masing-masing),” katanya.
Semalam, dilihat sebagai isyarat arah aliran menjelang pilihan raya umum ke-13, Syed Shahir berkata, pihaknya mahu kerajaan melaksanakan dasar gaji minimum dilaksanakan secepat yang mungkin.
“Seberapa segera. Ya, keyakinan saya tinggi (akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum),” kata Syed Shahir.
“Kami akan menyokong mana-mana parti yang menghormati hak-hak pekerja,” kata beliau sambil menambah, walaupun ramai ahli MTUC berlainan parti tetapi dalam isu pekerja “kami bersatu.”
MTUC dilihat akan meletakkan ia sebagai salah satu perkara yang akan dituntut pihaknya pada pilihan raya umum ke-13.
Isu gaji minimum menjadi isu diperjuangkan MTUC sejak enam dekad yang lalu.
MTUC mempunyai 500,000 ahli dengan 260 kesatuan gabungan.
Hampir 80 peratus kesatuan gabungannya adalah dari swasta dengan hampir 60 peratus ahlinya memperoleh gaji bawah RM1,200 sebulan – dalam lingkungan RM600 hingga RM750.
Gaji minimum dijangaka akan memanfaatkan tiga juta pekerja secara langsung.
Dalam pada itu, MTUC juga mahu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengembalikan bayaran kematian – yang dikurangkan secara drastik daripada RM30,000 kepada RM2,000 – diputuskan 10 tahun lalu.
Perkara itu telah dibangkitkan tiga kali pada persidangan perwakilan MTUC sebelum, kata sebuah kesatuan gabungannya.
Pengurangan itu salah satu daripada tiga keputusan diambil KWSP pada 2001.
Laporan media Jun 2001 berkata, MTUC dan KWSP telah mencapai persetujuan awal untuk mengubah formula bayaran faedah hilang upaya berdasarkan tempoh kerja seseorang pencarum.
Kedua-dua badan itu telah mencapai persetujuan untuk mengubah formula semasa iaitu bayaran tetap RM2,000 yang dikuatkuasakan sejak 1 Julai 2000, pada pertemuan tiga penjuru dengan Timbalan Menteri Kewangan ketika itu Datuk Chan Kong Choy.
Malah ketika itu, Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran berkata, pihaknya mengemukakan pandangan bahawa adalah wajar dan adil sekiranya seseorang pencarum yang mengalami situasi hilang upaya dibayar wang sagu hati mengikut tempoh dia bekerja.
“Jika dia diberi bayaran tetap hanya RM2,000, ia tidak akan banyak membantu pencarum (pekerja) berkenaan.
“Oleh itu kami berpendapat adalah wajar diberi bayaran mengikut formula tempoh dia bekerja dan umurnya, meskipun pada awalnya KWSP berpegang kepada formula yang digunakan sejak Julai lalu itu,’’ kata beliau.
Pada 9 Mei 2001, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan akan menyelesaikan tiga isu berkaitan KWSP termasuk menangguhkan pelaksanaan skim insurans anuiti dan menimbangkan supaya faedah hilang upaya dikembalikan.
Bayaran elaun hilang upaya merupakan salah satu daripada enam isu yang dibangkitkan oleh memorandum bantahan kepada pengurusan KWSP.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mtuc-wajib-gabungan-tuntut-gaji-minimum-rm1200-dalam-ca/
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mtuc-wajib-gabungan-tuntut-gaji-minimum-rm1200-dalam-ca/
...BN janji jer lebeh...
ReplyDelete