Wednesday, February 2, 2011

Penubuhan Kesatuan Sekerja Elektronik

Oleh Sajad Hussein

KUALA LUMPUR,Bernama)- Kelulusan kerajaan untuk membenarkan penubuhan Kesatuan Sekerja Industri Elektronik akan meningkatkan imej kerajaan di kalangan pertubuhan pekerja di dalam dan luar negara.

Isu ini telah menjadi duri dalam daging bagi kerajaan sejak awal 70-an apabila syarikat elektronik antarabangsa mula bertapak di negara ini.

Para pekerja yang diwakili Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah menunjuk perasaan, membantah dan membuat aduan kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sejak 40 tahun lalu ekoran kengganan kerajaan membenarkan pekerja sektor elektronik berpersatuan.

"Pada setiap persidangan antarabangsa ILO, Menteri Buruh Malaysia telah dikritik dan disoal mengenai isu ini sementara di peringkat tempatan, perbahasan hangat turut berlaku pada setiap mesyuarat pekerja," menurut ahli veteran kesatuan sekerja dan bekas presiden MTUC, Datuk Zainal Rampak.

Beliau berkata kerajaan mengalami kesukaran dalam meyakinkan pergerakan pekerja antarabangsa dan tempatan bahawa kerajaan sentiasa melindungi golongan tersebut.

Sebagai kompromi, kerajaan membenarkan pekerja menubuhkan kesatuan dalaman tetapi ia masih tidak dapat diterima kerana pekerja masih dieksploit, katanya.

Lebih-lebih lagi, hanya sekitar 12,000 hingga 15,000 pekerja yang merupakan ahli kesatuan yang mewakili 5 peratus dari keseluruhan tenaga kerja dalam industri berkenaan.

Contoh klasik ialah syarikat yang dinamakan Harris Advanced Technology Sdn Bhd yang menukar namanya sebanyak enam kali yang mana langkah itu tidak membolehkan pekerja menubuhkan kesatuan dalaman.

Pada 1988, seorang aktivis kesatuan sekerja muda bernama Bruno Pereira yang ketika itu merupakan pekerja syarikat berkenaan, dengan bantuan MTUC memulakan perjuangan untuk menyusun pekerja dalam sektor elektronik.

Usaha Bruno akhirnya berhasil apabila Kabinet membenarkan pembentukan kesatuan industri elektronik pada 27 Mei tahun lalu, walaupun pada peringkat wilayah di Semenanjung.

"Walaupun kami dibenarkan membentuk kesatuan berasaskan wilayah, ia adalah lebih baik berbanding kesatuan dalaman," kata Bruno.

Beliau berkata usaha sedang dilakukan untuk mengendalikan 286,226 pekerja di sektor berkenaan dalam tiga wilayah iaitu wilayah barat yang terdiri daripada Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak, wilayah selatan meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sementara wilayah utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Bruno yang merupakan Setiausa Agung Wilayah Barat berkata "satu generasi pekerja elektronik telah dinafikan faedah mereka walaupun syarikat-syarikat telah membuat keuntungan besar tahun demi tahun sejak 40 tahun lalu."

"Namun biarlah perkara yang lepas berlalu dan kami berharap untuk memulakan langkah baru dan memberi harapan kepada ribuan pekerja miskin dalam sektor ini yang kini memperolehi pendapatan sekitar RM350 hingga RM700 sebulan yang berada di bawah garis kemiskinan," katanya.

Menurut beliau, kini terdapat 365 syarikat elektronik di dalam negara di mana mereka memperolehi keluaran kasar RM157 bilion pada 2007.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment