Saturday, February 5, 2011

Perutusan KSIEWSSM-Undi Sulit





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Setelah mengharungi perjalanan masa hampir 6 bulan bagi memperolehi pengiktirafan dari syarikat STMicroelectronics (mewakili pekerja), akhirnya ia dapat diterjemahkan melalui kemenangan majoriti 57% undi sulit yang dijalankan pada 27hb Januari 2011 yang lepas. Meskipun terdapat sedikit gangguan dan kekecohan, proses ini dapat dijalankan dengan baik dan berkesan. Semua pihak dapat mengawal keadaan dengan baik dan aman. Ini sangat demokratik dan kredit patut diberikan kepada semua pihak yang terlibat (JPP, STM, para pekerja dan ahli KSIEWSSM). Oleh kerana itu terima kasih kepada Sdr. Naginder dan Sdr. Shahrum dari HR kerana dapat bekerjasama dengan baik.



Buat para pekerja dan ahli kesatuan, kemenangan ini bagi pihak Pekerja STM melalui KSIEWSSM, bukan satu lesen untuk mereka menentang majikan. Ini adalah anggapan yang salah sama sekali. Pekerja dan ahli perlu terus bekerjasama dan akur dengan setiap peraturan majikan. Mereka juga diingatkan supaya dapat meningkatkan produktiviti dan amalan kerja yang baik. Majikan perlu dihormati dan ini akan mewujudkan suasana yang harmoni dan baik. Biarlah pihak KSIEWSSM berbincang dan berunding dengan majikan selepas ini. KSIEWSSM percaya majikan lebih terbuka dan menerima perbincangan yang baik.
Buat pihak Majikan (STMicroelectronics), KSIEWSSM berharap agar dapat menerima dan menghormati pilihan pekerja mereka dengan hati yang terbuka. Pekerja tidak bermusuh dengan majikan, tetapi mereka merasakan mereka perlukan pembelaan yang sewajarnya dan mereka merasakan bahawa dengan adanya Kesatuan Sekerja mewakili mereka ini dapat mengimbanginya.

Pihak KSIEWSSM merasakan perlunya kedua-dua pihak iaitu Kesatuan (pekerja) dan majikan (STM) untuk membina “jambatan” dan bukannya memusnahkan “jambatan” perhubungan yang harmoni. Perhubungan harmoni ini perlu diwujudkan dan dipraktikkan demi kepentingan bersama. Pekerja melalui Kesatuan sedia berunding dan bertolak ansur dengan majikan sekiranya hubungan harmoni ini dapat dijalankan dengan baik.
Manakala, buat pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), ribuan terima kasih atas peranan “orang tengah” yang dijalankan sebelum dan semasa proses undi sulit ini dijalankan. Kerjasama dari Ketua Pengarah, Pengarah Negeri, Penolong Pengarah dan para Pegawai amat dihargai oleh Kesatuan.

Akhir sekali, tahniah sekali lagi kepada para pekerja dan ahli kerana berjaya menunaikan hak seorang pekerja yang baik. Bekerjalah seperti biasa dan patuhilah peraturan syarikat. Tiada syarikat, tiada pekerja dan tiada pekerja, tiadalah syarikat. Kedua-duanya saling memerlukan dan KSIEWSSM percaya hubungan baik ini akan berterusan dan lebih harmoni.
Sekian,

Dari Pekerja Untuk Pekerja,

Faidzul Zainal,
Presiden (KSIEWSSM), dan

Rizuan Bin Zainal,
Setiausaha Agung KSIEWSSM
Mewakili pekerja, ahli Kesatuan, Exco dan Pegawai Kesatuan.

http://ksiewssm.blogspot.com/2011/01/perutusan-ksiewssm.html

No comments:

Post a Comment