Friday, November 4, 2011

Nasib tiga pemimpin kesatuan sekerja terbela selepas 13 tahun


04/11/2011 7:03pm

KUALA LUMPUR 4 Nov
. – Nasib tiga bekas pemimpin tertinggi Kesatuan Sekerja Kilang Guppy Plastik Industries Sdn. Bhd. akhirnya mendapat pembelaan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pemecatan mereka 13 tahun lalu tidak sah.

Malah, mahkamah turut mendapati semua tuduhan yang dikemukakan oleh bekas majikan mereka itu tidak benar.

Mangsa yang terdiri daripada bekas Pengerusi Kesatuan Sekerja Guppy, Koyilvani Saminathan, 43; Setiausahanya, Roshamiza Muhamad, 36, dan Bendahari kesatuan, Kanniamah Annasamy, 60, dipecat dalam masa 24 jam pada 18 Jun 1998 atas tuduhan melakukan aktiviti anti syarikat.

Menurut Koyilvani, pihak pengurusan Guppy Plastik Industries Sdn. Bhd. turut mendakwa mereka memaksa pekerja lain menyertai kesatuan tersebut serta menyalahgunakan wang syarikat.

“Kami menubuhkan kesatuan ini bagi membela nasib pekerja yang menghadapi pelbagai masalah, antaranya kenaikan gaji yang hanya sebanyak 20 sen sebulan, masalah pengangkutan serta klinik panel.

“Namun, niat murni kami dianggap mengancam kedudukan syarikat dan oleh sebab itu, kami dipecat serta-merta tanpa sebarang siasatan dalaman dilakukan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Roshamiza ketika ditemui berkata, pada mulanya kes mereka telah dirujuk ke Mahkamah Perindustrian pada 30 Jun 1998, namun setelah beberapa kelewatan, kes tersebut mula dibicarakan pada 26 Julai 2004.

“Pada 31 Mei 2006, kami kalah perbicaraan kes tersebut. Setelah membuat rayuan di Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2009, hakim telah memutuskan pemecatan kami sebagai tidak sah.

“Walaupun kami menang, pihak pengurusan Guppy Plastik Industries Sdn. Bhd. mengugut supaya kemenangan kami dirahsiakan jika tidak mahu mereka membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang sememangnya akan melibatkan lebih banyak masa,” katanya.

Ketiga-tiga mangsa terbabit hanya memperoleh pampasan maksimum sebanyak dua tahun gaji daripada 13 tahun sepanjang kes perbicaraan berlangsung. - Utusan

No comments:

Post a Comment