Saturday, November 5, 2011

MTUC minta kerajaan buka ruang perbincangan



KUALA LUMPUR 3 Nov. – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini meminta kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia membuka ruang perbincangan terhadap Akta Kerja 1955 yang diluluskan Parlimen pada 6 Oktober lalu.

Presiden MTUC, Mohd. Khalid Atan berkata, rundingan supaya pindaan tersebut dikaji semula sentiasa menjadi harapan pihaknya.

“Kita akan menyampaikan perkara itu dalam mesyuarat ahli MTUC akan datang dan berharap kementerian tersebut dapat membuka jalan perundingan bagi menarik semula pindaan berkenaan,” katanya pada piket yang dihadiri lebih 500 pekerja di depan Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, hari ini.

Antara kesatuan yang terlibat pada piket yang bermula pukul 5.30 petang dan berakhir pada 6.30 petang itu ialah Kesatuan Pekerja KWSP, Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), Public Services International (PSI) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Kelab Semenanjung Malaysia (KPKSM).

Mohd. Khalid berkata, pindaan akta tersebut akan mewujudkan Sistem Kontraktor yang membolehkan majikan ‘mengupah’ kontraktor memberikan tenaga kerja kepada majikan berkenaan.

Katanya, sistem itu membuatkan pekerja bekerja untuk kontraktor bukan majikan berkenaan, menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan KWSP.

Berkenaan piket tersebut pula, beliau berpuas hati dengan kehadiran semua kesatuan yang masing-masing memberikan komitmen tinggi dalam memperjuangkan hak mereka sebagai pekerja.

“Lebih 5,500 menyertai piket ini di 18 lokasi seluruh negara hari ini bagi menyatakan bantahan mereka. Piket ini satu kejayaan bagi MTUC,” ujarnya.

Di PULAU PINANG, hujan lebat tidak menghalang hampir 1,000 ahli MTUC mengadakan piket secara aman di hadapan Hotel Pearl View, Prai di sini dari pukul 5 hingga 6.15 petang.

Setiausaha MTUC Pulau Pinang, K Veeriah berkata, pindaan itu hanya akan menyebabkan lebih banyak masalah kepada pekerja di samping menindas mereka.

Di IPOH, kira-kira 500 ahli MTUC Bahagian Perak mengadakan piket secara aman di Taman Kledang Utama.

Setiausaha MTUC Bahagian Perak, Abdul Rashid Saari berkata, pindaan akta tersebut, apabila dilaksanakan kelak akan menguntungkan majikan dan pekerja asing sedangkan pekerja tempatan teraniaya.

Di MELAKA, piket kira-kira 300 orang yang sepatutnya berjalan dalam suasana aman, menjadi medan mengecam kerajaan dengan pelbagai kata-kata kesat dilemparkan.

Ia gara-gara kehadiran Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin serta beberapa penyokongnya yang muncul secara tiba-tiba sewaktu piket diadakan.

Di ALOR SETAR, kira-kira 300 pekerja menyertai piket tersebut di hadapan Sime Tyre International, Mergong bagi membantah pindaan tersebut.

Menurut Pengerusi MTUC Kedah, Zulkifli Hamid, piket terbabit bukan untuk menentang kerajaan tetapi membela nasib pekerja swasta yang didakwa akan ditindas jika pindaan itu dilaksanakan.

Di KOTA KINABALU, MTUC Sabah gagal mengadakan piket hari ini apabila gagal mencapai sasaran apabila hanya 30 ahli yang datang pada kali ini.

Di JOHOR BAHRU, kira-kira 500 individu menyertai piket tersebut secara aman.

Pengerusi MTUC negeri, Tan Ean Hong berharap kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia dapat mengkaji semula akta berkenaan bagi membolehkan kebajikan pekerja tempatan terbela.

Di KUALA LANGAT, kira-kira 200 pekerja kilang di sekitar daerah ini turut menyertai piket tersebut di Jalan Besar Klang-Banting di Telok Panglima Garang di sini.

Presiden Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah berkata, pindaan akta itu akan meluluskan agensi kontrak pekerjaan yang bermaksud pekerja kilang boleh dikontrakkan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, kerajaan telah mengambil kira pandangan dan kajian daripada Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan sebelum membuat pindaan Akta Kerja 1955 yang diluluskan pada 6 Oktober lalu.

“Kerajaan mengambil kira pandangan majlis bebas itu demi memperjuangkan nasib pekerja sekali gus turut mengambil kira kepentingan majikan,” katanya

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1104&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment