Monday, October 17, 2011

Saran semak sistem pencen minimum GLC


Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2011/10/16
Kesatuan sekerja mahu bantuan kewangan 200,000 pesara dinaikkan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mahu dasar pencen minimum dilaksanakan bagi lebih 200,000 pesara GLC dan agensi kerajaan yang menerima pencen bulanan kurang daripada RM300 bagi membantu meringankan kos sara hidup mereka.

Presidennya, Mohamed Shafie BP Mamal, berkata lebih menyedihkan lagi apabila kira-kira 100,000 pesara menerima pencen bulanan kira-kira RM120, sehingga mereka

terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menyara keluarga masing-masing. Walaupun sudah bersara, sebahagian besar daripada golongan pesara ini terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menambah pendapatan kerana kadar pencen yang diterima itu amat rendah.

“Kos sara hidup semakin meningkat dari semasa ke semasa... sudah tiba masanya untuk kerajaan turut membantu golongan pesara ini yang turut menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kami menghargai bantuan kewangan yang diberikan kerajaan selama ini, bagaimanapun berharap kerajaan akan mengkaji semula sistem pencen itu,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Jumaat lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bagi meringankan beban kewangan pesara kerajaan, lebih 600,000 pesara menikmati pelarasan pencen membabitkan peruntukan RM600 juta melalui Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perdana Menteri turut berkata, mulai 2013, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

Sebelum ini, kesatuan sekerja itu mendedahkan kebanyakan pesara GLC sebelum diswastakan sudah menjangkau usia lebih 60 tahun, tetapi terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk tempoh masa yang panjang dengan gaji bulanan rendah iaitu sekitar RM600 hingga RM700 sebulan.

Sementara itu, ditanya mengenai kenaikan tahunan pencen pesara, Mohamed Shafie berkata, pihaknya amat berharap perkara berkenaan dapat dilaksanakan tahun depan tanpa perlu menunggu hingga 2013.

“Kami masih tidak tahu mengenai mekanisme pelaksanaan kenaikan tahunan pencen dua peratus itu... sama ada ia (kenaikan) akan mengambil kira daripada gaji terakhir pesara atau kadar pencen yang diterimanya ketika ini,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SaransemaksistempencenminimumGLC/Article

No comments:

Post a Comment