Monday, October 17, 2011

AKTA KERJA : Kerajaan Jangan ‘Syok Sendiri’

Posted on Sunday, October 16 @ 22:34:53 PDT
Dilulus untuk paparan oleh aya


Oleh Ust Firdaus Jaafar

Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar (LPAS) Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta kerajaan mendengar keluhan serta pandangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang membantah pindaan Akta Kerja 1955.

Bagi LPAS, MTUC mempunyai asas yang kukuh membantah Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 yang telah dibentang dan diluluskan di Parlimen baru-baru ini.


LPAS berpendapat kerajaan sepatutnya berbincang dahulu dengan pelbagai peringkat terutama golongan pekerja serta kesatuan sekerja bagi mendapatkan pandangan sebelum membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kerja.


Ini kerana ia melibatkan hak dan kepentingan golongan ini. Jika benar kerajaan prihatin terhadap rakyat, golongan pekerja mestilah antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian.

MTUC dalam satu kenyataannya menegaskan pihak mereka menentang Rang Undang-Undang Akta Kerja 1955 kerana ia menghapuskan sistem perlindungan, yang secara langsung akan menjadikan sistem ‘hamba’. Mereka menentang sistem kontraktor tenaga buruh pihak ketiga kerana kesannya akan menjadikan soal kebajikan pekerja tidak dipedulikan. Kesan jangka panjang pula adalah menjadikan jurang pendapatan semakin meningkat dan tekanan ke atas hak-hak pekerja yang boleh menyebabkan kesan buruk ke atas sistem ekonomi, sosial dan politik di negara ini.

Dalam hal ini, LPAS mempersoalkan bagaimanakah khidmat nasihat yang diterima oleh kerajaan sehingga pindaan Rang Undang-Undang ini menimbulkan kemarahan banyak pihak, khususnya golongan kesatuan sekerja? Mungkinkah kerajaan mendapat nasihat yang salah, atau maklumat yang tidak tepat sehingga sanggup menegepikan golongan pekerja.

LPAS mengingatkan kerajaan betapa banyak keputusan kerajaan yang dibuat dalam keadaan terburu-buru dan tidak tepat. Orang Melayu baru kehilangan Kampung Baru ekoran Rang Undnag-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 yang dibentang dan diluluskan baru-baru ini dalam keadaan yang sangat tergesa-gesa. Kerajaan pula sengaja mahu mencari permusuhan berpanjangan dengan MTUC dan kesatuan sekerja yang lain kerana sanggup membentangkan akta ini dan diluluskan pula beberapa jam kemudiannya. Walaupun kerajaan memberi ‘gula-gula’ yang banyak dalam bajet 2012 baru-baru ini, rakyat masih tetap tidak berpuashati kerana banyak perkara kerajaan telah membelakangkan rakyat. Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan, lalu memprotes pemimpin UMNO-BN dalam PRU ke 13 nanti.

LPAS juga meminta kerajaan melayan tuntutan MTUC dengan baik dalam piket yang akan mereka anjurkan nanti. Negara demokrasi seperti Malaysia membenarkan hak berhimpun dan menyatakan suara hati mereka, justeru LPAS meminta jaminan kerajaan agar jangan mengambil tindakan terhadap mereka selama mana piket berlangsung dengan aman.

Disediakan oleh,

YB MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia

http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=article&sid=9601

No comments:

Post a Comment