Wednesday, October 12, 2011
Akta Kerja: Dr Subra dibidas dakwa MTUC kelirukan rakyat
Oleh G Manimaran
October 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 Okt — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas Datuk Seri Dr S Subramaniam dengan menegaskan tuduhan Menteri Sumber Manusia itu bahawa badan induk pekerja ini memutar belit dan mengelirukan rakyat berhubung pindaan Akta
Kerja 1955 adalah “tidak adil dan tidak wajar” sama sekali.
“Soal MTUC atau Setiausaha Agung MTUC memutarbelitkan rakyat mengenai Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 adalah tidak benar sekali... tidak wajar sama sekali, kami tidak kelirukan sesiapa,” kata Setiausaha Agung Abdul Halim Mansor kepada The Malaysian Insider.
Sebaliknya kata Halim, MTUC telah berusaha untuk membincangkan kontroversi berkaitan Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 dengan lebih lanjut demi kepentingan para pekerja, tetapi tidak mendapat kerjasama daripada Kementerian Sumber Manusia.
Katanya, piket yang diusahakan oleh MTUC di kawasan Parlimen pada 3 Oktober lalu sebenarnya dapat dielakkan jika Kementerian Sumber Manusia sanggup bertolak ansur untuk mengadakan perbincangan.
“Kami telah menghantar surat kepada Menteri Sumber Manusia ketika mesyuarat NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan) yang diadakan pada hari piket diadakan.
“Sekiranya Menteri Sumber Manusia (yang mempengerusikan mesyuarat NLAC) sanggup mengatakan bahawa sedia berbincang, sudah pasti piket hari itu telah ditangguhkan... jadi tidak wajar mengatakan kami yang memutarbelitkan isu,” kata beliau lagi.
Ketika ditanya sama ada Kementerian Sumber Manusia memanggil mesyuarat NLAC secara kebetulan ataupun sebaliknya pada hari yang sama piket MTUC, Halim berkata, “saya tidak pasti, dan saya tidak mahu mengulas perkara itu.”
Tetapi beliau menegaskan, piket 3 Oktober sudah asti boleh dielakkan jika kerajaan bersedia untuk menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011.
“Sesi Parlimen kali ini berlangsung sehingga bulan Disember, jadi saya bacaan kali kedua sebenarnya boleh dielak atau ditangguh bagi kami berbincang lagi, sepatutnya tiada masalah, tapi...,” kata Halim.
Malah menurut Halim, MTUC tidak pernah membantah kesemua peruntukan yang dibawa menerusi pindaan Akta Kerja, sebaliknya “hanya meminta agar dibuat pindaan bagi melindungi kepentingan pekerja.”
“Ini penting untuk diketahui, kami tidak membantah kesemua peruntukan. Kami hanya mahu perlindungan pekerja dipertingkatkan, ini yang telah kami minta,” kata beliau.
“Dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan dengan Kementerian Sumber Manusia, MTUC telah memberikan banyak cadangan untuk pertimbangan kementerian, tetapi ia tidak mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya.
“Jadi, cadangan tinggal cadangan, apa kami boleh buat?” kata Halim turut menambah, beliau sendiri telah cuba menyelesaikan isu semasa dengan harmoni sehingga berhadapan dengan risiko hampir-hampir “digantung jawatan.”
“Jadi, untuk mengatakan kami dan saya sendiri mengelirukan rakyat adalah tidak benar, tidak adil,” kata Halim merujuk kepada kenyataan Dr Subramaniam kelmarin, antara lain berkata pihaknya sedih dengan tindakan MTUC yang memutuskan untuk mengadakan piket peringkat nasional berhubung isu Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 pada 3 November ini.
Kata Dr Subramaniam beliau juga amat sedih dengan tindakan MTUC yang memutarbelitkan fakta dan mengelirukan orang ramai.
“Saya amat sedih dengan tindakan MTUC, Akta Kerja digubal atas permintaan kesatuan pekerja yang lain dan hanya MTUC yang menentang sedangkan saya sudah menjelaskan hal yang sebenarnya,” kata beliau.
“Akta itu bukan dibuat ikut arahan majikan, sebaliknya berdasarkan tuntutan pekerja sejak beberapa tahun lepas lagi,” kata beliau menegaskan tindakan Kementerian Sumber Manusia terhadap pindaan akta tersebut.
Isnin lalu, MTUC sebulat suara memutuskan untuk mengadakan piket di seluruh negara bagi membantah tindakan Putrajaya meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 di Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Piket akan diadakan serentak di seluruh negara.
Pendirian tegas ini, susulan piket di kawasan Parlimen pada 3 Oktober lalu, diputuskan oleh mesyuarat majlis am khas.
Kali terakhir MTUC mengadakan piket nasional adalah pada 2007 berkaitan dengan dasar minimum.
Perkembangan semasa dijangka membawa kesan dari segi sokongan pekerja kepada parti pemerintah pada pilihan raya umum ke-13.
Sambil menegaskan MTUC telah memberi pandangan yang salah kepada rakyat, Dr Subramaniam berkata kerajaan masih lagi bersedia berbincang dan berunding dengan MTUC agar mempertimbangkan semula berkenaan penganjuran piket di seluruh negara.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akta-kerja-dr-subra-dibidas-dakwa-mtuc-kelirukan-rakyat/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment