Tuesday, August 2, 2011

Perjanjian Bersama STMicroelectronics dan KSIEWSSM

Untuk pertama kalinya didalam sejarah Kesatuan Sekerja diperingkat wilayah, satu majlis bagi menandatangani perjanjian bersama telah diadakan bagi menandakan termeterainya ikatan persefahaman diantara Kesatuan Sekerja Industri Elektronik

Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM) dan juga pengurusan STMicroelectronics. Berlangsung di Hotel Classic Muar, perjanjian ini telah ditandatangani secara bersama oleh pihak pengurusan STMicroelectronics, wakil KSIEWSSM dan wakil pekerja. Turut hadir didalam majlis ini adalah Penolong Pengarah JPP dan Penolong Pengarah JTK Muar.

Encik Hwang Jindoo (Pengurus Besar STMicroelectronics)
Dalam ucapan ringkas dari Pengurus Besar STMicroelectronics, Encik Hwang Jindoo (atas) telah memberikan pujian terhadap pasukan perundingan dari kedua-dua pihak yang telah berjaya menyelesaikan perkara yang berbangkit didalam masa yang singkat. Tambah beliau, pasukan ini telah menunjukkan semangat yang positif dalam menjayakan dan menyelesaikan rundingan. Beliau juga melahirkan penghargaan terhadap kejayaan rundingan ini dan berharap agar ianya dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing pekerja serta menaikkan prestasi syarikat.

Mohd Salleh - Wakil KSIEWSSM
Sementara itu, dalam ucapan dari wakil KSIEWSSM, Sdr Mohd Salleh (atas) juga melahirkan penghargaan terhadap pihak pengurusan STMicroelectronics kerana perundingan ini telah berlangsung dengan baik dan harmoni. Menurut beliau, perjanjian ini merupakan satu titik penting dalam sejarah Kesatuan dimana ianya akan menjadi bahan rujukan bukan sahaja di dalam Malaysia oleh Malaysian Trade Union Congress (MTUC) dan Malaysian Employer Federation (MEF) tetapi juga bagi International Federation of Chemical, Energy, Mine and General Workers' Unions (ICEM), International Metalworker’s Federation (IMF) dan International Labour Organization (ILO) diperingkat antarabangsa. Tambah beliau, ini adalah suatu perkembangan yang amat baik bagi kedua-dua pihak dalam mempertahankan hubungan baik antara pekerja serta majikan. Perjanjian bersama ini juga dapat mewujudkan situasi “sama-menang” bagi kedua-dua belah pihak.

Tuan Hj Shahrudin - Penolong Pengarah JPP Muar
Dalam pada itu, Tuan Hj Shahrudin (kanan) dari Jabatan Perhubungan Perusahaan, Muar juga menghargai kerjasama kedua-dua pihak dalam menjalankan tanggungjawab perundingan tanpa melibatkan pihak-pihak lain. Ini menunjukan bahawa terdapat persamaan kefahaman dan sikap muafakat keduanya, ujar beliau lagi. Beliau berharap agar konsep perundingan sebegini akan menjadi contoh yang baik bagi syarikat dan kesatuan sekerja yang lain dan wajar diikuti. Tambah beliau, ia juga bagi menjamin kestabilan kerja, dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing sama ada pekerja dan syarikat malah ianya merupakan kejayaan yang dicapai secara bersama.




Hwang Jindoo, Naginder Singh (HR Director) dan CL Ser (Financial Controller) sedang menandatangani perjanjian bersama

Wakil-wakil KSIEWSSM (dari kiri: Sdr Faidzul Zainal (Presiden KSIEWSSM), Sdr Rizuan Zainal (S/U Agung KSIEWSSM) serta wakil worksite committee Sdr. Mahdar dan Sdri Suhaily.


Penyerahan Perjanjian Bersama bagi kedua-dua pihak (STMicroelectronics dan KSIEWSSM)

Kemuncak majlis ini telah berlangsung majlis tandatangan kedua-dua pihak dan disaksikan oleh Tn Hj Shahrudin beserta para hadirin yang lain. Diantara kandungan perjanjian bersama adalah;
• Peruntukan perlindungan Insurans bagi pekerja serta bantuan kilat bagi pekerja yang meninggal dunia kepada waris,
• Pertambahan cuti berbayar,
• Pertambahan jumlah caruman oleh majikan,
• Sumbangan syarikat kepada pekerja yang mendapat cahaya mata,
• Kenaikan gaji bagi tahun 2011 yang sama dan adil bagi kesemua operator dan juruteknik.

Posted by Kesatuan Sekerja Elektronik Wilayah Selatan
http://ksiewssm.blogspot.com/2011/07/perjanjian-bersama-stmicroelectronics.html

1 comment:

  1. layoff di st muar mgkin akan bermula..same2la kita berdoa moga ekonomi dunia cepat pulih..spansion shah alam dah tutup kilang..kesian kat pekerja yg ader tanggungan keluarga..tekanan hidup yang perlu dihadapi..ya allah..kuatkan semangat aku hadapi dugaan hidup ini..

    ReplyDelete