Monday, November 14, 2011

MTUC kecam VSS Hong Leong Bank, gesa JTK dan BNM bertanggungjawab

Oleh G. Manimaran
November 14, 2011

KUALA LUMPUR, 14 Nov — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan pelaksanaan skim pemisahan secara sukarela (VSS) oleh Hong Leong Bank Berhad sambil menggesa Bank Negara dan Kementerian Sumber Manusia bertanggungjawab atas dakwaan kedua-duanya telah memberi kelulusan kepada langkah pengurangan pekerja.

Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata, pelaksanaan VSS tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan kesatuan sekerja memberi isyarat tidak sihat dalam pasaran kerja dan perhubungan industri di Malaysia dalam jangka panjang.


“Jika ia berlaku di industri bank hari ini, ia akan berlaku di tempat-tempat lain selepas ini,” kata Abdul Halim kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Malaysia (NUBE) dengan keras menolak skim VSS yang dilaksanakan Hong Leong Bank berkuat kuasa awal bulan ini ekoran penggabungan dengan EON Bank tanpa perbincangan teratur bersama kesatuan itu terlebih dahulu.

Selain itu, NUBE juga menegaskan pihaknya kecewa perkara tersebut dilaksanakan ekoran kelulusan Bank Negara dan Jabatan Tenaga Kerja — agensi-agensi yang sewajarnya tidak campur tangan ataupun memberi lampu hijau bagi pelaksanaan VSS.

“Kami dimaklumkan oleh pengurusan Hong Leong Bank bahawa VSS ini mendapat kelulusan Bank Negara dan Jabatan Tenaga Kerja sedangkan mengikut peruntukan dalam Perjanjian Bersama (CA), hanya kesatuan sekerja merupakan pihak tunggal boleh mengadakan perbincangan dan memberi pendirian, bukannya Bank Negara atau Kementerian Sumber Manusia sebagaimana didakwa oleh pengurusan bank,” kata Setiausaha Agung NUBE J Solomon semalam.

Mengulas lanjut isu ini, kata Halim, Bank Negara dan Jabatan Tenaga Kerja tiada hak untuk memberi kelulusan kepada bank untuk melaksanakan VSS.

“Kalau betul (Bank Negara telah memberikan kelulusan), Bank Negara perlu bertanggungjawab... di mana apabila ada percantuman, salah satu aspek yang seharusnya telah diberi perhatian ialah tidak akan berlaku pengurangan tenaga kerja, Bank Negara patut telah menekankan perkara ini.

“Syarikat yang menjual (EON Bank) harus telah menyelesaikan masalah tenaga kerja terlebih dahulu manakala Hong Leong pula harus telah menerima, bermakna tidak patut pihak Hong Leong ini mengurangkan tenaga kerja melalui VSS,” kata Halim dan menjelaskan bahawa “di sini patut ada ketelusan dan siapa jadi hakim... pihaknya ialah kesatuan sekerja.”

Tambah beliau, pengurusan Hong Leong seharusnya telah memanggil wakil kesatuan sekerja untuk perbincangan terlebih dahulu.

“Di sini aspek penting ialah pihak Jabatan Tenaga Kerja tidak terlibat dalam perundingan CA, jadi bagaimana apabila hendak melaksanakan VSS, pengurusan boleh mengabaikan kesatuan sekerja dengan mendapatkan kelulusan Jabatan Tenaga Kerja dan Bank Negara dan didakwa telah memberi kelulusan... MTUC mahu jabatan ini dan Bank Negara bertanggungjawab dalam soal ini,” katanya lagi.

Halim juga berkata lazimnya pengurangan tenaga kerja dibuat apabila sesebuah majikan berhadapan dengan masalah kewangan.

“Saya tidak nampak wujud masalah ini dalam kes ini. Jadi mengapa perlunya tenaga kerja dikurangkan,” katanya sambil menegaskan, skim VSS juga akan membolehkan sesebuah organisasi mengambil pekerja baru dalam waktu terdekat.

Kata Halim, jikapun hendak melaksanakan VSS, majikan terbabit harus membayar pampasan yang lebih tinggi daripada peruntukan CA dan ia hanya boleh dilakukan menerusi perundingan dengan kesatuan sekerja.

“Keadaan ini nampaknya tidak wujud,” kata beliau lagi.

“VSS juga tidak akan menghalang majikan daripada mengambil pekerja baru dalam waktu terdekat, situasi yang berbeza daripada skim pembentian pekerja di mana majikan tidak boleh ambil pekerja dalam tempoh enam bulan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Halim juga mengaitkan dengan peruntukan baru sistem kontraktor tenaga kerja, yang dibenarkan menerusi pindaan kontroversial Akta Kerja 1955 baru-baru ini.

Ekoran penggabungan kedua-dua bank lebih tiga bulan lalu, dengan mengekalkan nama Hong Leong Bank, terdapat sekitar 12,000 tenaga kerja pada masa sekarang.

The Malaysian Insider difahamkan sebelum penggabungan, Hong Leong Bank mempunyai 6,000 pekerja manakala EON Bank pula 5,800 orang.

NUBE, yang mewakili pekerja-pekerja kategori perkeranian, sebelum ini mempunyai 3,000 ahli di EON Bank dan 1,000 lagi Hong Leong Bank.

Laporan media sebelum ini menyebut, dengan penggabungan ini, sebanyak 145 cawangan EON Bank akan diintegrasikan dengan Hong Leong Bank, sekali gus menjadikan ia bank kedua terbesar dari segi rangkaian di negara ini dengan mempunyai 329 cawangan dan lebih 1,400 terminal layan diri.

Semalam, Solomon berkata, pada pandangan mereka ini kali pertama VSS sedemikian dilaksanakan tanpa mengadakan perbincangan teratur dengan NUBE.

“Memang ada urusan penggabungan sebelum ini dan ada langkah pengurangan tenaga kerja, tetapi ia tidak pernah dilakukan tanpa perbincangan dengan kesatuan sekerja ataupun Bank Negara dan Jabatan Tenaga Kerja sendiri yang memberi kelulusan... ini kali pertama keadaan ini berlaku dan saya risau ia akan menjadi teladan tidak sihat dalam industri,” kata beliau menjawab soalan berkenaan pengalaman masa lalu.

NUBE juga telah menulis surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Datuk Sh Yahya Sh Mohamad Rabu lalu mengenai isu ini dan kepada Bank Negara minggu ini

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mtuc-kecam-vss-hong-leong-bank-gesa-jtk-dan-bnm-tanggungjawab/

1 comment:

  1. Salam Pekerja

    Menyentuh mengenai dengan piket baru-baru ni, saya selaku salah seorang Majlis AM MTUC amat tidak berpuashati dengan proses, cadangan dan susunan piket yang diadakan.

    1. MENGAPA & KENAPA baru kini PIKET diadakan setelah perkara @ akta tersebut hendak dibentangkan di Parlimen?

    2. MENGAPA tindakan awal (dalam masa 18x) perbincangan diadakan bersama pihak Kementerian namun tiada satu respon awal diberikan?

    3.Pada tarikh 3 Nov 2011, MENGAPA MTUC yang kononnya tidak terlibat dengan HALUAN KIRI menjemput barisan Ahli Parlimen Pembangkang untuk sertai PIKET tersebut? APAKAH RELEVENNYA?

    4. ADAKAH ANDA SEMUA TAHU BAHAWA PADA 23 OGOS 2011 YANG LALU, MTUC TELAH "DISUAP" RM 400,000.00 DARI KERAJAAN @ UMNO? KHALID ATAN, JAAFAR MAJID TELAH MENERIMA DUIT TERSEBUT!

    5. MENGAPA sekarang ini MTUC seoalah-olah "BERLAKON" yang kononya membela nasib pekerja? sedangkan banyak sudah perjumpaan bersama PM, TPM, dan Menteri telah dibuat selama ini (DENGAN KEPIMPINAN BARU) ADAKAH mereka ini berbincang atau sekadar MINUM KOPI??

    6. Sedih dan sungguh terkilan dengan sikap HIPOKRAT pemimpin MTUC kini, lebih2 lagi Jaafar Majid, yang kini sedang heboh melobi dirinya untuk mendapatkan tempat sebagai SENATOR? Adakah adil? dimanakah sikap tanggungjawab pemimpin MTUC???

    PEMIMPIN TERTINGGI MTUC SILA JAWAB JIKA BERANI!!

    ReplyDelete