Sunday, October 2, 2011

Akta Kerja: Gabungan MTUC dakwa pindaan langgar Perlembagaan, ILO


Oleh G Manimaran
September 30, 2011

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Kerajaan perlu segera menarik balik rancangan pihaknya mahu membawa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010 ke Parlimen bulan depan kerana beberapa peruntukan baru bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan konvensyen Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO), tegas kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Pendirian ini dikeluarkan sehari sebelum forum khas MTUC mengenai isu itu dan tiga hari menjelang piket yang dirancang untuk diadakan di hadapan Parlimen.

Sesi Parlimen Oktober-Disember bermula Isnin ini.



“Kami mengulangi desakan kami agar kerajaan Malaysia dengan segera menarik balik Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010 dan kemudian adakan perbincangan dan perundingan terbuka yang diperlukan dengan pekerja, kesatuan dan pihak-pihak lain yang berkepentingan sebelum membentangkan semula mana-mana pindaan yang disyorkan ke atas undang-undang buruh,” kata Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu, Syed Shahir Syed Mohamud dalam satu kenyataan hari ini.

Antara pindaan yang menjadi kebimbangan dan keprihatinan MTUC sekarang ialah pengenalan peruntukan berkaitan dengan sistem kontraktor tenaga kerja.

Bekas presiden MTUC ini berkata, badan induk kesatuan sekerja itu berpendirian bahawa kesemua pekerja di tempat kerja seharusnya digaji terus oleh pemilik-operator di sesebuah tempat kerja, yang menyediakan pekerjaan dan yang ada kawalan dan penyeliaan penuh ke atas tempat kerja dan pekerja masing-masing serta boleh dengan berkesan berurusan dengan pemilik-operator-majikan.

“Kewujudan tenaga kerja majikan lain yang pelbagai di satu tempat kerja yang sama sudah pasti akan melemahkan kesatuan dan kuasa dalam soal berkaitan dengan perjanjian bersama.

“Sehubungan itu, hari-hari penggajian tetap dengan majikan utama kemungkinan akan berakhir dan kita akan balik kepada era hitam (penggajian pekerja), yang pernah dilalui sebelum kemerdekaan. Justeru, sekuriti pekerjaan adalah sangat penting,” katanya lagi.

Syed Shahir juga berkata, persekitaran menggaji pekerja dari pelbagai majikan kontraktor di satu tempat kerja yang sama juga akan membawa kepada layanan yang berbeza kepada pekerja yang digunakan.

“Ini adalah diskriminasi dan akan bertentangan dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan,” kata beliau lagi.

Menurut beliau, pendekatan itu juga bertentangan dengan pendirian ILO yang menentang trend semasa beberapa majikan cuba mengelak hubungan langsung antara pekerja dan majikan.

“Malah ILO juga telah tampil dengan garis panduan untuk mengatasi usaha-usaha seperti ini.

“Sesuatu yang menyedihkan kerana Malaysia bertindak bercanggah dengan semangat ini dan sedang cuba untuk menjadikan amalan-amalan ini satu tindakan yang sahih,” katanya lagi.

Tambah beliau, negara ini ada Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 dan oleh itu, bisnes mendapatkan pekerja dan membekalkan mereka seharusnya tertakluk di bawah undang-undang itu.

Susulan perkembangan awal minggu ini, semalam The Malaysian Insider membawa laporan bahawa MTUC, yang telah mengadakan pertemuan khas dua jam dengan Kementerian Sumber Manusia pagi semalam, tetapi kekal dengan pendiriannya mahu mengadakan piket berhubung pindaan Akta Kerja, Isnin ini.

Bagaimanapun sama ada pendirian MTUC akan berubah ataupun sebaliknya akan diketahui esok selepas forum mengenai rang undang-undang kerja itu di Petaling Jaya.

The Malaysian Insider difahamkan susulan pertemuan dua jam dengan kepimpinan MTUC hari ini, Kementerian Sumber Manusia turut memutuskan untuk menghantar satu pasukan ke forum itu bagi menjelaskan pindaan yang hendak dibawa ke Parlimen pada sesi yang bermula minggu depan.

Forum itu akan dihadiri oleh wakil kesatuan sekerja sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Empat hari lalu, Kementerian Sumber Manusia mengingatkan MTUC yang bercadang mengadakan tindakan berpiket tidak wajar membangkitkan bantahan mereka di “saat pembentangan di Parlimen.”

“Kementerian ingin menegaskan bahawa sebelum pindaan ini dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan, semua cadangan pindaan ini telah melalui proses konsultasi bersama wakil-wakil pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja.

“Sebanyak 18 kali sejak awal 2010. Selain itu, draf cadangan pindaan turut telah dipanjangkan untuk pandangan dan maklum balas daripada wakil majikan dan pekerja. Justeru, pindaan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa kerana telah melalui proses konsultasi yang komprehensif bersama pihak-pihak yang berkepentingan,” kata Kementerian Sumber Manusia.

Kelmarin, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam berkata, usaha meminda Akta Kerja tidak harus dipandang serong atau disalah faham kerana ia dilakukan untuk kepentingan bekerja.

Pendirian untuk berpiket diputuskan pada mesyuarat majlis am MTUC Ahad lalu.

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010 telah ditangguhkan dua kali sebelum ini.

Antara lain Rang Undang-undang Kerja didakwa merugikan kaum pekerja kerana jika diluluskan akan membolehkan sistem kontraktor pekerja, yang pernah digunakan sebelum negara merdeka, diamalkan kembali. MTUC mendakwa ia akan merugikan pekerja dari segi kebajikan mereka dan menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.

Selain peruntukan berkenaan sistem kontraktor sosial, MTUC mahu kerajaan memasukkan cuti bersalin 90 hari dan menaikkan had kerja lebih masa sehingga 130 jam sebulan.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akta-kerja-gabungan-mtuc-dakwa-pindaan-langgar-perlembagaan-ilo/

No comments:

Post a Comment