Monday, October 3, 2011
Akta Kerja: Bacaan kali kedua diteruskan, kata menteri
October 03, 2011
KUALA LUMPUR, 3 Okt — Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010 yang bertujuan melindungi hak pekerja tetap diteruskan pada sesi Dewan Rakyat kali ini walaupun ditentang Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
MTUC mengadakan piket di kawasan Parlimen bagi tadi membantah pindaan itu.
Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam (gambar) berkata pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.
Difahamkan rang undang-undang itu disenaraikan di tempat ke-10 dalam aturan mesyuarat dan tidak pasti bila ia akan dibacakan.
“Ada kejadian di ladang-ladang di mana ada yang didera, dianiaya dan pelbagai lagi, dan kerajaan susah mahu mengambil tindakan kerana tidak tahu siapa pembekal, siapa kontraktor,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan sekumpulan anggota MTUC yang berpiket bagi mendesak kementeriannya menarik balik pindaan terhadap Akta Kerja 1955 itu yang didakwa mereka tidak membawa keuntungan selain menindas hak pekerja.
Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan 2010) dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada sesi Parlimen 8 Julai 2010, namun ditarik balik pada sesi Parlimen 12 Oktober 2010 bagi mengambil kira pandangan saat akhir daripada pelbagai pihak termasuk MTUC mengenai pentakrifan subkontraktor untuk tenaga kerja kepada kontraktor bagi tenaga kerja di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955.
“Kita dah bincang perkara ini sudah 18 kali, bukan sekali dua dan pandangan mereka diterima, sekarang di saat-saat akhir mereka membuat demikian (piket).
“Tapi niat kita ialah untuk memberi perlindungan kepada pekerja bukan untuk buka ruang ‘outsourcing’ seperti yang dituduh mereka,” katanya.
Subramaniam berkata dengan pindaan itu, kementeriannya akan mempunyai rekod komprehensif pekerja bagi memudahkan urusan pemantauan.
“Kalau mereka didaftar kita boleh berikan perlindungan yang lebih baik, iaitu kita tahu bilangan mereka dan di mana kes aniaya berlaku,” katanya dipetik Bernama Online.
Dr Subramaniam berkata langkah itu juga dilihat jalan yang terbaik memandangkan kerajaan tidak boleh memansuhkan agensi pembekal tenaga buruh yang sudah wujud sekian lama.
“Untuk mengharamkan kegiatan ini sepenuhnya adalah mustahil, kerana amalan perniagaan seperti ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” katanya.
“Kami berkongsi sentimen MTUC yang mahu memastikan agensi pembekal tenaga dikawal dan mengurangkan tempoh kontrak,” katanya.
MTUC mahu membawa isu itu ke perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Kementerian Sumber Manusia bertegas meneruskan bacaan kali kedua.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akta-kerja-bacaan-kali-kedua-diteruskan-kata-menteri/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment