Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
NAMA Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI- MLC) mungkin tidak begitu dikenali berbanding Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Namun, UNI-MLC mempunyai kekuatan lebih 200,000 ahli dari 60 kesatuan kakitangan kolar putih seluruh negara yang mampu memberi impak dalam hubungan antara pekerja, majikan dan kerajaan di negara ini.
Didaftarkan secara rasmi pada 2003, UNI-MLC merupakan anggota Kesatuan Global UNI (disebut You and I) yang menggabungkan sekitar 1,000 kesatuan sekerja dari 135 negara dengan keanggotaan kira-kira 20 juta ahli.
Kesatuan Global UNI yang beribu pejabat di Nyon, Switzerland dibentuk pada 1 Januari 2000 bagi menggabungkan kesatuan sekerja dari empat sektor utama iaitu komunikasi antarabangsa (pos dan telekom); media dan hiburan; grafik dan pembungkusan; serta kakitangan perdagangan, insurans dan kewangan (FIAT).
Di Malaysia, tugas UNI-MLC termasuk memberi khidmat nasihat dalam perjanjian bersama (CA), keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, cara kerja bersesuaian dan juga isu melibatkan pekerja asing.
Baru-baru ini, UNI-MLC turut menerima anugerah Breaking Throuh iaitu pengiktirafan tertinggi peringkat global untuk sudut pengelolaan sektor-sektor yang tiada kesatuan sekerja dengan mengatur kerja kesatuan untuk pekerja yang tiada kesatuan sendiri
Dalam temuramah khas bersama Presiden UNI-MLC, Mohamed Shafie BP Mammal sebelum ini, beliau berkongsi harapan untuk era baru hubungan kesatuan, majikan dan kerajaan yang lebih 'aman' kelak.
"Falsafah kami mahu wujudkan perkongsian pintar dan juga mahu bekerjasama dengan kerajaan, universiti, golongan cendekiawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai matlamat serupa.
"Persoalannya, bagaimana membina era perkongsian pintar ini? Ke arah keharmonian dan kesejahteraan pekerja tanpa mengabaikan hubungan yang baik dengan pihak pengurusan," katanya.
Antara yang ditegaskannya adalah untuk melihat perubahan minda pemimpin kesatuan sekerja yang perlu mengikut iklim politik, ekonomi dan pertumbuhan peluang pekerjaan di rantau ini.
"Perhubungan industri yang sihat dengan majikan bukan bererti kita berkompromi dengan hak kita. Perubahan ini mungkin akan dibawa golongan muda yang akan mengambil alih dalam lima hingga 10 tahun akan datang.
"Falsafah mereka mungkin berbeza terutamanya dalam era perkongsian pintar yang tidak hanya melihat kepada isu pendapatan semata-mata," ujarnya.
Namun, Mohamed Shafie berpendapat perubahan ke era baru tidak begitu mudah jika pihak pengurusan sendiri masih was-was dengan tahap keterbukaan terhadap kesatuan sekerja yang masih rendah.
Tambahnya, majikan juga kena mengubah cara pemikiran lama terutamanya persepsi bahawa ahli kesatuan merupakan golongan yang selalu suka menentang.
"Majikan sebenarnya kena jaga pekerja. Dengan cara itu, rasa hormat antara kedua pihak akan bertambah sementara produktiviti dan hasil kerja akan meningkat.
"Galakkan latihan dan latihan semula supaya dapat membentuk sistem dan budaya kerja baru dalam era globalisasi kini," tegasnya.
Jelasnya lagi, banyak isu boleh diselesaikan dengan baik dan mudah jika Bahagian Sumber Manusia syarikat cekap dan prihatin terhadap situasi kakitangan.
"Masalah dapat diselesaikan dengan baik dan mudah jika kesatuan dapat memberi maklum balas dalam suasana kerja yang harmoni, aman dan mementingkan perkongsian pintar semua pihak.
No comments:
Post a Comment