Monday, April 18, 2011

Wujud statistik tenaga kerja asing - MTUC

PETALING JAYA 6 Mac - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta Kementerian Sumber Manusia menyediakan perangkaan yang tepat mengenai keperluan tenaga kerja asing di negara ini.

Presidennya, Mohd. Khalid Atan berkata, langkah itu perlu dalam usaha untuk mengurangkan bilangan pekerja asing yang kini melebihi angka dua juta orang.

Tanpa menafikan mengenai kepentingan tenaga kerja asing, katanya, jumlah dua juta itu bagaimanapun dilihat telah melebihi keperluan dan ia perlu dihadkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing.

''Selain daripada mengehadkan pekerja asing, kementerian juga perlu mengetahui mengenai rekod kemasukan mereka di negara ini termasuk rekod kemalangan dan kematian dengan tepat.

''Statistik seperti ini seharusnya ada di pihak kementerian bagi menunjukkan jumlah sebenar keperluan tenaga kerja asing di Malaysia dan ia mesti selari dengan rekod yang dikeluarkan kementerian berkaitan warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung isu pekerja asing terutamanya dari Nepal yang menjadi mangsa penindasan majikan di pejabatnya di Subang Jaya dekat sini, hari ini.

Mohd. Khalid memberitahu, MTUC melihat jumlah tenaga kerja asing ketika ini telah melebihi keperluan walaupun kerajaan baru-baru ini membenarkan pengambilan baru pekerja asing.

''Kementerian Sumber Manusia seharusnya faham dan mempertimbangkan kekosongan kerja bagi pekerja tempatan khasnya bagi mereka yang baru memasuki pasaran pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Mohd. Khalid berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh Kedutaan Nepal di negara ini, difahamkan seramai 217 pekerja dari negara itu yang bekerja di Malaysia telah meninggal dunia tahun lalu.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0307&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment