KUALA LUMPUR 17 April - Kerajaan diminta mengeluarkan garis panduan berhubung umur persaraan kakitangan syarikat milik kerajaan (GLC) agar ia dapat diselaraskan dengan sektor awam.
Menurut Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Jafar Abd. Majid, sekiranya garis panduan itu dikeluarkan, maka perbincangan di antara kesatuan sekerja dengan majikan akan menjadi lebih mudah tanpa banyak perselisihan pendapat bagi menjadikan perkara itu realiti.
"Ketika ini cuma satu atau dua GLC saja yang bersetuju usia persaraan dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 58 atau 60 tahun. Sebagai GLC, tidak sepatutnya ada masalah untuk mereka menuruti langkah kerajaan melanjutkan usia persaraan kakitangan awam.
"Perbincangan mengenai perkara ini sudah lama dibawa MTUC. Diharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat mempertimbangkannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai kira-kira 10 wakil Kesatuan Sekerja GLC bertemu Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Husin di Menara Dato' Onn di sini baru-baru ini.
Ia merupakan susulan kepada pertemuan MTUC dan Pemuda UMNO dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Parlimen dua minggu lalu.
Mohd. Jafar menambah, tuntutan itu merupakan antara lima perkara yang termaktub dalam memorandum diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri pada pertemuan sebelum ini.
"Perkara lain adalah berkaitan gaji minimum dan elaun kos sara hidup (COLA), sistem bayaran gaji, sistem pengurusan pekerja (PMS) serta sistem gaji berkaitan produktiviti (PLWS).
"Pada pertemuan itu, Timbalan Perdana Menteri tampak memberikan reaksi positif, tetapi kami faham, masalah ini mengambil masa untuk diselesaikan," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm
No comments:
Post a Comment