2 Mei 2012, Putrajaya.
Perdana Menteri pada 30 April 2012 telah mengumumkan Gaji Minima Kebangsaan yang turut dipancarkan secara lansung di TV berdasarkan lima elemen utama iaitu:-
- Kadar Gaji Minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900.00 sebulan (RM4.33 sejam) manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800.00 sebulan (RM3.85 sejam)
- Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan Gaji Minima ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minima diwartakan
- Membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan Gaji Minima
- Tempoh kuat kuasa bagi kategori majikan kecil ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minima diwartakan
- Mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan Gaji Minima boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan.
Persoalan
Tarikh kuat kuasa enam bulan akan membuka ruang luas pada majikan untuk mengambil langkah memasukkan sebahagian elaun sedia ada dan dicampur gaji asas untuk dicukupkan menjadi Gaji Minima RM900.00. Dengan cara ini, majikan dapat mengelakkan membayar Gaji Minima RM900.00 sepenuhnya seperti hasrat asal kaum pekerja. Berdasarkan amalan di Malaysia, pengumuman awal yang dibuat oleh Perdana Menteri juga akan menyebabkan peniaga menaikkan harga barangan keperluan sebelum Gaji Minima diimplimentasikan.
Perbezaan antara Semenanjung,Sabah dan Sarawak adalah tidak selari dengan konsep Gagasan 1Malaysia. Ianya akan memperluaskan jurang perbezaan pendapatan antara pekerja di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Nelson Mandela telah telah memansuhkan dasar aparteid pada tahun 1994 namun demikian sehingga ke hari ini, kesannya telah mengakibatkan jurang pendapatan yang sangat ketara di antara kaum kulit putih dengan kulit hitam di negara itu. Pengalaman di Afrika Selatan ini perlu diambil iktibar oleh kerajaan dalam mengujudkan kesamarataan antara pekerja di negara ini. Statistik menunjukkan 30% pekerja swasta di Malaysia mendapat gaji di bawah paras kemiskinan negara RM750.00 dan majoritinya terdiri dari pekerja swasta di Sabah dan Sarawak. Hal ini menyebabkan ramai pekerja Sabah dan Sarawak berhijrah ke Semenanjung bagi mencari rezeki yang lebih baik.
Kebimbangan besar turut dirasai bila kerajaan memberi kebenaran kepada majikan yang benar-benar tidak mampu melaksanakan Gaji Minima untuk memohon lanjutan tempoh melaksanakan dari 12 bulan kesuatu tempoh lain. Langkah ini dikhuatiri akan berakhir dengan kehampaan harapan pekerja untuk menikmati Gaji Minima. Pelbagai masalah yang ada hubungkait dengan pelaksanaan Gaji Minima untuk pengawal keselamatan adalah contoh yang telah berlaku dan ianya besar kemungkinan akan berlaku sekali lagi dalam pelaksanaan Gaji Minima Kebangsaan.
Kelebihan dan Keraguan
Langkah memberi kelonggaran untuk majikan. menyerapkan sebahagian elaun ke dalam Gaji Minima akan memberikan manfaat kepada pekerja berdasarkan faktor-faktor berikut:-
i. Jumlah gaji pokok untuk pekerja akan menjadi RM900.00 dan ini akan menguntungkan pekerja dari sudut pembayaran EPF sumbangan majikan dan pekerja yang lebih tinggi.
ii. Syarikat yang membuat bayaran pampasan persaraan, 'gratuiti' akan mengambil kira gaji terakhir yang berjaya ditingkatkan asasnya.
iii. Bayaran pencen ilat jika terlibat dengan kemalangan akan layak menerima pencen ilat yang lebih baik kerana paras Gaji Minima telah ditetapkan RM900.00.
iv. Kadar bayaran lebih masa akan menjadi lebih tinggi kerana kiraan berasaskan Gaji Minima.
v. Kenaikan gaji tahunan yang lebih tinggi nilainya berbanding gaji asal yang rendah dari paras RM900.00.
vi. Jika syarikat alami masalah kewangan dan tidak mampu untuk menampung operasi, amalan semasa membenarkan potongan didahulukan untuk elaun berbanding gaji.
vii. Bayaran bonus akan lebih tinggi nilainya kerana bonus dibayar berdasarkan kiraan gaji dan bukan elaun.
Bagaimanapun prinsip Gaji Minima telah tergelincir dari landasan dan matlamat asal MTUC yang menetapkan Gaji Minima RM900.00 dan Cola RM300.00 apabila implimentasinya mengambil kira sebahagian elaun. Tafsiran gaji dan elaun tidak boleh disamakan. Gaji bukanlah elaun dari sudut tafsirannya mengikut undang-undang pekerjaan.
Mengikut " National Wages Consultative Council Bill 2011"
Definasi gaji adalah seperti berikut: "minimum wages" means basic wages to be or as determined under section 23;
Oleh yang demikian gaji pokok atau 'basic minimum wage' tidak termasuk sebarang elaun-elaun.
Tetapi dalam enam bulan mana-mana majikan boleh menyerap mana-mana elaun sedia ada seperti elaun kehadiran (attendance elaun) dan lain-lain elaun ke dalam gaji pokok yang kurang dari RM900.00. Bagaimana pula keadaannya dengan pekerja yang menerima lebih dari RM900.00? Apakah yang akan terjadi kepada elaun tetap mereka? Mengikut Akta Kerja - 'any implied terms' juga boleh menjadi 'contractual'.
Dari sudut mata kasar seperti nampak pekerja akan dapat gaji yang lebih tinggi tetapi hakikatnya dari sudut pendapatan - pekerja sebenarnya hilang nilai kepada pendapatan bila elaun diserapkan ke gaji minimum.
Anologi mudah:
Gaji permulaan semasa - RM600.00 Elaun Tetap pengangkutan + Shift + Kehadiran – RM300.00
Gaji Minima kelak akan menjadi RM900.00 tetapi elaun tetap akan hilang!(Ini merugikan pekerja kerana pendapatan pekerja pada sebelum pelaksanaan gaji minimum sudah sedia ada bernilai RM900.00. Pengumuman Gaji Minima tidak akan mengubah apa-apa pendapatan pekerja jika sebahagian elaun diambil kira untuk kiraan Gaji Minima.
Kaedah sebenarnya yang dituntut MTUC untuk pelaksanaan Gaji minima mestilah:-
Gaji Minima RM900.00
Elaun Tetap Pengangkutan + Giliran Kerja + Kehadiran – RM300.00
Jumlah Pendapatan – RM900.00 + RM300.00 = RM1,20.00
Akan ujud pelbagai masalah jika pelaksanaan Gaji Minima tidak dilakukan dengan cermat antaranya:
- Akan ujud anomali dari sudut gaji
- Gaji pekerja Junior akan menghampiri gaji pekerja senior
- Kekananan dalam perkhidmatan tidak akan lagi menjadi salah satu instrumen untuk mengukur kadar upah
- Majikan terpaksa menambah kos jika mahu melakukan pelarasan gaji untuk mengelakkan masalah anomali gaji
Secara keseluruhannya pengumuman gaji minimum ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan setelah MTUC membangkitkannya sejak 12 tahun lalu iaitu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Malangnya ia tidak menepati prinsip asal Gaji Minima seperti yang dituntut MTUC dan ia turut menimbulkan persepsi keraguan terhadap pelaksanaannya.
Laporan Bank Dunia 2011 menunjukkan kadar kenaikan gaji ialah 2.6% sahaja sedangkan kadar produktiviti meningkat ke 6.7%. Angka ini membuktikan pekerja negara telah memberi sumbangan besar kepada peningkatan produktiviti dan kemajuan negara. Malahan angka ini juga menunjukkan majikan memperolehi peningkatan kepada keuntungan dan perkembangan perniagaan. Malangnya pekerja negara terutama pekerja swasta masih gagal menikmati kehidupan berkualiti (Quality Life) dan terus terpinggir di bumi Malaysia yang kaya dengan sumber alam semulajadinya. Kerajaan diseru melaksanakan sepenuhnya Gaji Minima seperti tuntutan asal MTUC dan selaras dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan. Pengumuman Gaji Minima tidak wajar digunakan sebagai instrumen politik menjelang Pilihanraya ke 13 bagi meraih sokongan pekerja sektor swasta. Kerajaan juga perlu memberi penjelasan lanjut terhadap isu penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap sebagai Gaji Minima supaya ia dapat memberikan impak yang tulin terhadap prinsip pelaksanaan Gaji Minima.
Mohd Roszeli Majid, Naib Presiden MTUC (Sektor Swasta)
Dikemaskini dari link-http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/gaji-minimum-antara-persepsi-implimentasi-dan-keraguan-1.44691
Jika pekerja bawahan Rm900, pekerja yang sedia ada diatas gaji RM1200 akan meminta kenaikan juga, begitu juga pekerja diatasnya.
ReplyDeleteAkhirnya kos pekerja bertambah.
Harga barang dan perkhidmatan terpaksa dinaikkan.