Thursday, November 10, 2011

Akta Kerja: Peruntukan kontraktor tenaga kerja kekal, tegas menteri


Oleh Mohd Farhan Darwis
November 08, 2011

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Kementerian Sumber Manusia menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk membatalkan peruntukan kontraktor bagi tenaga yang dimasukkan

menerusi pindaan Akta Kerja 1955 walaupun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) terus mendesak termasuk mengadakan piket nasional, Khamis lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramniam (gambar) berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menggugurkan pindaan tersebut walaupun MTUC telah mengadakan piket secara besar-besaran sebagai tanda protes.

Bahkan kata beliau, pihaknya masih lagi membuka pintu perbincangan dengan badan induk kesatuan sekerja berkenaan supaya mereka mendapat gambaran jelas tentang peruntukan baru itu.

“Kami bersedia berbincang dengan mereka (MTUC) supaya mereka mendapat kefahaman yang lebih jelas berkenaan pemindaan tersebut.

“Walaupun sebelum piket sudah ada perbincangan, tetapi saya masih lagi sedia berbincang dengan mereka,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Konvokesyen Kumpulan Perantisan Pertama Tesco dan Upacara Perasmian Akademi Tesco sebagai Pusat Latihan Sistem Latihan Dual Kebangsaan di sini.

Subramaniam juga mengalu-alukan langkah MTUC yang mahu membawa perkara berkenaan kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Malah saya sudah memaklumkan beliau (Perdana Menteri) mengenai perkara ini,” katanya.

Tambah Subramaniam, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk berbincang semula dengan MTUC memandangkan perbincangan yang diadakan sebelum piket tersebut menemui jalan buntu dan tidak dapat menghalang piket daripada berlaku dan mengharapkan perbincangan selepas ini akan menemui jalan penyelasaian berkaitan isu tersebut.

Dalam satu kenyataan kelmarin, MTUC bahagian Sarawak sambil menegaskan agensi-agensi pekerjaan tidak boleh menjadi majikan sama sekali menggesa Putrajaya dan Kuching tidak membawa pindaan Akta Kerja 1955 yang kontroversi ke negeri Malaysia Timur itu.

Sabah dan Sarawak tidak menggunakan Akta Kerja, tetapi menerima pakai Ordinan Kerja masing-masing, yang lazimnya akan memasukkan perkara-perkara dilihat ada kaitan langsung dengan akta itu.

Gesaan itu terkandung dalam satu memorandum dikemukakan kepada Najib dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud. Salinan diedarkan kepada media hari ini.

MTUC telah mengadakan piket peringkat nasional, di 18 lokasi, berhubung pindaan Akta Kerja, Khamis lalu.

Badan induk kesatuan sekerja itu mengambil tindakan tersebut ekoran rasa tidak puas hati dengan pindaan yang membolehkan kewujudan sistem kontraktor tenaga kerja secara sah di negara ini.

MTUC mendakwa sistem kontraktor tenaga kerja akan membuatkan seseorang pekerja bekerja untuk kontraktor bukan majikan utama, menyebabkan majikan utama tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja.

Dalam memorandum itu, kepimpinan MTUC Sarawak berkata, Malaysia ada Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 yang membolehkan agensi-agensi pekerjaan mendapatkan tenaga kerja bagi mana-mana majikan.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akta-kerja-peruntukan-kontraktor-tenaga-kerja-kekal-tegas-menteri/

No comments:

Post a Comment