Monday, September 12, 2011

Tindakan tegas majikan buang pekerja



PETALING JAYA 11 Sept. – Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan (TWU) meminta

kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap majikan yang memberhentikan pekerja sesuka hati.

Setiausaha Agungnya, Datuk Zainal Rampak berkata, berdasarkan beberapa kes sebelum ini, TWU mendapati majikan semakin tidak menghormati hak pekerja hingga berlaku kes pemberhentian pekerja tanpa mengikut peraturan.

Terbaru beliau berkata, 14 eksekutif di Airod Sdn. Bhd. diberhentikan kerja kerana mengadakan piket selepas waktu kerja ekoran pihak majikan gagal menuruti terma-terma perjanjian antara syarikat dan pihak kesatuan pekerja.

“Kesemua mereka ialah pemimpin serta anggota Kesatuan Eksekutif Airod termasuk Presidennya, Shatiri Mansor. Saya secara peribadi terlalu kesal dengan apa yang berlaku kerana jelas ia tidak mengikut undang-undang.

“Berpiket adalah hak kesatuan dan ia boleh dilakukan selepas waktu kerja. Oleh itu, saya tidak nampak kesalahan 14 eksekutif ini hingga dibuang kerja selepas mereka bangkit menuntut hak sendiri,” katanya pada sidang akhbar di bangunan TWU di sini hari ini.

Sebelum ini, Airod bersetuju memberi kenaikan gaji tahunan selama dua tahun berturut-turut kepada ahli kesatuan gred E1 dan E2 melalui satu surat yang ditandatangani pada 28 Februari 2011.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dipenuhi apabila terdapat eksekutif yang berada pada gred tersebut masih tidak menerima kenaikan gaji tersebut.

Zainal berkata, majikan seperti itu tidak harus dibiarkan kerana ia boleh menjejaskan keharmonian perhubungan perusahaan di negara ini.

Beliau mahu Airod mengambil semula 14 eksekutif yang dibuang kerja itu tanpa mengurangkan ganjaran dan skim perkhidmatan sedia ada.

“Saya tidak tahu jenis majikan yang sanggup membuang pekerja menjelang Aidilfitri. Sebagai orang Islam kita wajib menjaga kebajikan anak-anak buah kita,” katanya lagi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm

No comments:

Post a Comment