Thursday, September 1, 2011

MTUC TERIMA RM400,000.00 DARI NAJIB...........


Kuala Lumpur, 23 Ogos- Di atas sikap tanggungjawab dan prihatin, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah memberikan sumbangan kepada MTUC yang merupakan pertubuhan terbesar yang mewakili kesatuan sekerja di negara ini.

Sumbangan sebanyak RM 400,000.00 tersebut bertujuan untuk membantu MTUC dalam menggerakkan organisasi tersebut mempelbagaikan usaha dan aktiviti yang akhirnya dapat membantu meningkatkan kualiti dan kepakaran pekerja seterusnya membantu melonjakkan ekonomi negara.

EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussein Akhtar Hussin telah telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada Sdr. Mohd Khalid Atan, Presiden MTUC yang turut dihadiri oleh ahli Exco MTUC. Perbincangan ringkas turut diadakan sebelum penyerahan sumbangan tersebut.

”Saya mengharapkan agar dengan sumbangan yang telah diberikan, MTUC akan menjadi sebuah organisasi yang lebih kreatif dan proaktif bukan hanya sebagai paying untuk membela nasib golongan pekerja tetapi turut melahirkan golongan pekerja-pekerja yang berkualiti, mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang-bidang yang mereka ceburi.

Bagi pihak Sekretariat Pekerja Muda, kita akan senantiasa terbuka untuk membantu dan bekerjasama dengan pihak MTUC ataupun organisasi-organisasi yang lain khusus bagi membantu golongan pekerja yang rata-ratanya orang-orang muda di negara ini mempunyai masa hadapan yang lebih terjamin,” ujarnya yang juga Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Tambahnya, Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia akan terus melaksanakan pelbagai program-program khusus menjurus kepada golongan pekerja selain dari khidmat melalui aduanpekerja.my yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri beberapa bulan yang lalu kepada semua pihak tanpa ada sempadan politik dan agama kerana kepentingan dan masa depan mereka adalah menjadi keutamaan negara.

”Bagi pihak MTUC sendiri mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan YAB Perdana Menteri kepada organisasi tersebut malah kesanggupan YAB Perdana Menteri hadir pada majlis Makan Malam sempena Hari Pekerja 2011 yang lepas turut menggambarkan golongan pekerja amat diambil berat oleh beliau. MTUC juga akan mempelbagaikan usaha dan akan membina hubungan yang baik dengan pihak kerajaan bagi memudahkan segala permasalahan disalurkan kepada saluran yang betul dan diselesaikan dengan cara yang cukup berkhemah,” ujarnya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kewangan Daripada Perdana Menteri Kepada MTUC melalui Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment