Friday, June 20, 2014
Beri projek secara bidaan terbuka
Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 27 Mei - Kesatuan dan Persatuan Sekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mewakili 34,900 pekerjanya mahu penganugerahan projek penjanaan dibuat secara bidaan terbuka bagi membolehkan rakyat menikmati kadar tarif elektrik yang rendah.
Yang Dipertua Persatuan Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (PETNB), Abdul Shukor Hassan berkata, bidaan secara terbuka itu membolehkan penjana tenaga bebas (IPP) menawarkan harga pembelian yang lebih murah berbanding rundingan secara terus.
Beliau berkata, rakyat seterusnya akan mendapat manfaat kerana tidak terbeban dengan kos penjanaan yang tinggi sekiranya sesuatu projek itu diserahkan secara terus kepada mana-mana IPP.
"Penganugerahan projek secara terbuka juga membolehkan IPP yang ada bersaing secara sihat antara satu sama lain untuk membekalkan tenaga elektrik.
"Secara tidak langsung membolehkan proses bidaan berlangsung secara telus tanpa ada sebarang maklumat tersembunyi berbanding rundingan secara terus," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razak Abdul Majid di sini hari ini.
Pertemuan hampir dua jam itu dihadiri oleh 16 wakil daripada PETNB, Kesatuan Percantuman Pekerja-pekerja TNB (KPPPTNB) dan Kesatuan Pegawai-pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) .
Mengulas lanjut, Abdul Shukor berkata, penganugerahan rundingan secara terus perjanjian pembelian kuasa (PPA) antara TNB pada keseluruhan IPP generasi pertama hanya akan meningkatkan kos operasi.
"Bayangkan jumlah bayaran sudah dibuat selama ini kepada keseluruhan IPP generasi pertama yang diberi secara rundingan terus.
"Kadang-kadang jelas kelihatan isu membabitkan sesetengah IPP sebelum ini adalah berat sebelah," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140528/dn_19/Beri-projek-secara-bidaan-terbuka#ixzz35Fp5bz9j
© Utusan Melayu (M) Bhd
Also read > http://www.theedgemalaysia.com/business-news/289985-highlight-power-sector-woes-cast-shadow-over-nations-energy-security.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment