Thursday, April 5, 2012

ISU PEKERJA NEGARA - MTUC BERJUMPA PERDANA MENTERI - PIKET DI PUTRAJAYA TANGGUH ATAU DITERUSKAN?

5 April 2012, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur : Pemimpin MTUC yang diketuai oleh Presidennya Sdr Khalid Atan telah mengadakan perjumpaan selama lebih sejam bersama Perdana Menteri berhubung isu-isu pekerjaan. Antara isu-isu yang dibincangkan adalah Pindaan Akta Kerja 1955 khususnya mengenai isu ‘Contractor For Labour’, Union Busting, Isu pemakaian undang-undang pekerjaan terhadap Badan-Badan Berkanun, Isu InHouse Union dan Isu Pembuangan Pekerjaan Pemimpin Kesatuan. Turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah Pegawai-Pegawai Utama MTUC, wakil Kesatuan seperti Kesatuan Elektronik Wilayah Barat,NUBE, BATEU,MASEU,RUM KTMB dan Sdr Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO).


Presiden MTUC dengan dibantu oleh Sdr GopalKrishnam (MTUC Selangor), Sdr Bruno Pereira (Kesatuan Industri Elektrik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia), Sdr Sivananthan serta sdr Halim Mansur (Setiausaha Agung MTUC) telah memberikan penjelasan panjang lebar berhubung isu Contractor For Labour dan kesannya terhadap pekerja Negara kepada Perdana Menteri.

Dalam ulasannya Perdana Menteri memaklumkan MTUC perlu memahami keperluan tenaga kerja Negara dan telah meminta MTUC tidak terlalu ‘rigid’ terhadap pelaksanaan pekerjaan kontrak. Perdana Menteri secara prinsipnya bersetuju supaya pekerjaan kontrak seharusnya di laksanakan secara terus dan bukan melalui ‘orang tengah’. Selain itu dalam ulasannya Perdana Menteri juga melontarkan pandangan supaya pelaksanaan tenaga kerja secara kontrak dilakukan dalam tempoh yang singkat iaitu bagi memenuhi keperluan tertentu.

MTUC pula telah membentangkan senario semasa pelaksanaan ‘contractor for labour’ yang diamalkan dalam sektor pekerjaan Negara yang membuka ruang luas pihak ketiga mengaut keuntungan dan menjejaskan pekerja Negara untuk mendapat perlindungan terma dan syarat perkhidmatan serta perlindungan undang-undang pekerjaan. MTUC juga membangkitkan isu berkaitan bayaran elaun dan gaji yang telah dilanjutkan tempohnya sebulan dari tarikh kerja dilakukan kesan dari pindaan akta tersebut. MTUC dengan rasminya memohon Perdana Menteri berusaha supaya Pindaan Akta Kerja dibatalkan dan dikembalikan kepada peruntukan akta yang asal.

MTUC juga membangkitkan isu ‘ Union Busting’ yang melibatkan industri perbankkan iaitu MAYBANK dengan penubuhan MAYNUE yang diluluskan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja. Sdr J.Solomon selaku Setiausaha NUBE telah merayu Perdana Menteri camportangan dalam isu MAYBANK dan juga pembuangan kerja dua pemimpin utama NUBE. Perdana Menteri memaklumkan beliau mengetahui isu-isu berkaitan dan telah mengambil beberapa catitan untuk diambil tindakan selanjutnya tanpa memberikan sebarang ulasan lanjut.

Isu berkaitan agensi Badan-Badan Berkanun seperti KWSP, PERKESO, Lembaga Tabung Haji dan lain-lain agensi yang ketika ini tidak terpakai dengan sebarang akta pekerjaan juga telah dibangkitkan oleh MTUC. MTUC mahukan pihak kerajaan melalui Perdana Menteri melihat semula perlindungan pekerjaan dari sudut keperluan undang-undang pekerjaan kepada kelompok pekerja ini. Pada masa kini segala terma dan syarat perkhidmatan agensi Badan-Badan Berkanun ini hanya ditentukan dan diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah agensi . Perdana Menteri menyambut baik makluman yang disampaikan oleh MTUC berhubung perkara ini dan berjanji akan mengambil tindakan perlu bagi melihat semula pelaksanaan undang-undang pekerjaan Negara terhadap agensi-agensi badan berkanun.


Dalam masa yang sama Presiden Kesatuan Keretapi Tanah Melayu (RUM) Sdr Razak telah membangkitkan isu penolakan Kesatuan dan pekerja terhadap Ketua Pegawai Eksekutif KTMB –Dr Aminuddin Adnan. Sdr Razak dengan tegas menyatakan kepada Perdana Menteri supaya Ketua Pegawai Eksekutif KTMB –Dr Aminuddin Adnan ditamatkan kontraknya. Mereka juga telah menyerahkan sepucuk surat bersama Sdr Mohd Roszeli Majid (Naib Presiden MTUC yang mewakili Kesatuan dan Persatuan TNB) yang turut membangkitkan isu kepimpinan dalaman bagi menerajui Syarikat-Syarikat GLC kepada Perdana Menteri berhubung perkara yang sama. Sdr Alias selaku jurucakap Kesatuan Sekerja MAS (MASEU) pula membangkitkan isu penjualan ekuiti MAS kepada AirAsia. Pemimpin MASEU itu telah menolak usaha penggabungan MAS AirAsia dan memohon Perdana Menteri membatalkan kontrak tersebut. Beliau juga memaklumkan AirAsia telah membawa masuk banyak pengurusan mereka ke MAS dan sokongan pekerja MAS terhadap kerajaan akan terjejas dan ini akan menyukarkan sokongan terhadap kerajaan terutama di negeri Selangor dalam Pilihanraya 13. Perdana Menteri dalam maklumbalasnya menyatakan beliau memahami keadaan yang berlaku dan akan cuba mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.


Sdr Azhar selaku Presiden Kesatuan Industri Elektrik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia yang telah dibuang kerja kesan dari ‘Union Busting’ ditempat kerjanya Renesas Electronic telah memaklumkan kepada Perdana Menteri berhubung kesukaran menubuhkan Kesatuan Sekerja serta tindakan majikan yang anti kesatuan. Perdana Menteri telah mendengar dengan teliti isu yang dibangkitkan dan memberi komen ‘tidak bolehlah dibuang kerja’ atas sebab musabab yang berkaitan dengan usaha menubuhkan Kesatuan Sekerja. Pembuangan Pekerjaan terhadap pemimpin Kesatuan Sekerja turut dilaporkan oleh Sdr Balasubramaniam Naib Presiden Sektor Swasta MTUC (West Port Union). Turut membuat laporan kepada Perdana Menteri ialah Sdr Ganesan yang mewakili Kesatuan British Tobacco American Employees Union berkaitan masalah Perjanjian Kolektif dan tindakan Union Busting yang dilakukan majikan.

Sebelum ini MTUC melalui Mesyuarat Majlis Amnya telah memutuskan untuk menganjurkan perhimpunan membantah Pindaan Akta Kerja 1955 di depan bangunan Pejabat Perdana Menteri,Putrajaya yang dijadualkan akan dilakukan pada 13 April 2012.Pengerusi Jawatankuasa Piket MTUC - Sdr Alias Awang dalam kenyataannya terdahulu telah memaklumkan perhimpunan yang dirancang tersebut akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin utama Kesatuan Gabungan MTUC dan akan berlansung pada jam 3.00 petang dilokasi yang dinyatakan.

MTUC dilaporkan telah mengeluarkan notis untuk memanggil Majlis Mesyuarat Am dan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Piket pada 10/4/2012 untuk memaklumkan hasil perbincangan dengan Perdana Menteri atas isu-isu yang dibangkitkan dan memutuskan samada meneruskan atau menangguhkan tindakan Piket di Putrajaya yang dijadualkan pada 13/14/2012.

Perdana Menteri secara umumnya berjanji akan berusaha meneliti semua isu yang dibangkitkan dan akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan bagi membantu menyelesaikannya. Presiden MTUC dalam maklumbalas penutupnya telah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas masa yang diluangkan untuk berjumpa dan berbincang isu-isu pekerjaan yang melibatkan pelbagai sektor.

3 comments:

  1. Syabas!
    Tindakan susulan perlu di ambil. Pastikan semua tuntutan di ambil tindakan.
    Jangan dok tunggu-tunggu!
    Tunggu, punya tunggu, punya tungggu!
    Habok pun tada ada!
    kalau tak ada respon kita bergerak ke tindakan selanjutnya!
    Syabas! Berjuanglah seikhlasnya!

    ReplyDelete
  2. Hidup Union'Hidup MTUC,kerajaan perlu tau kesengsaraan PEKERJA

    ReplyDelete
  3. pekerja jer ke sengsara...majikan macammana... majikan cop duit ke???

    ReplyDelete