Thursday, February 2, 2012

CEO TNB: Kesatuan mahu PM lantik orang dalam

Wartawan Sinar Harian
2 Februari 2012


SHAH ALAM - Pekerja-pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baru daripada kalangan orang dalam syarikat utiliti itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, dua kesatuan dan satu persatuan yang mewakili pekerja-pekerja TNB berkata, pihaknya yakin pengurusan dalaman mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu berasaskan kepada semangat kerjasama dan pencapaian yang ujud sejak sekian lama.

"Amatlah penting bagi kerajaan melihat semula kemampuan dan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada segala usaha yang telah dilakukan oleh pekerja dan pengurusan dalaman TNB setelah TNB berjaya menjadi salah satu syarikat terunggul di Asia," katanya lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Yang Dipertua Persatuan Eksekutif TNB, Abdul Syukor Hassan, Kesatuan Pegawai-pegawai Rendah TNB Mohd Rozeli Majid dan Presiden Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB Abu Hussin Nekmat.

Pimpinan dua kesatuan dan persatuan terbabit menambah, pihaknya berkeyakinan penuh bahawa kepimpinan dalaman TNB yang mempunyai pengalaman yang luas bersama LLN/TNB dan industri pembekalan elektrik mampu untuk menerajui dan memimpin TNB ke tahap yang lebih cemerlang sekiranya diberi peluang.

"Tambahan pula, kepimpinan dalaman lebih memahami operasi, budaya kerja, serta nilai dalaman yang menjadi tunjang kepada pembangunan dan kejayaan LLN/TNB yang telah dibina lebih 60 tahun.

"Seorang pemimpin dalaman yang menerajui TNB dapat diterima oleh semua lapisan dan dekat di hati masyarakat TNB serta memulihkan keyakinan, meningkatkan semangat dan menyatupadukan warga kerja TNB dalam memastikan objektif utama TNB iaitu memberi perkhidmatan yang terbaik dalam menyediakan bekalan elektrik kepada rakyat dan negara," katanya lagi.

Laporan media kelmarin menyebut Datuk Seri Che Khalib Mohd Noh tidak akan menyambung khidmat apabila kontraknya tamat bulan Jun ini.

Kenyataan itu menambah, kesatuan dan persatuan TNB merakamkan ucapan terima kasih kepada Che Khalib yang telah menerajui TNB hampir lapan sejak 2004.


"Kenyataan beliau bahawa muka baru diperlukan dan keutamaan diberikan kepada kepimpinan dalaman di mana calon yang paling layak adalah Datuk Azman Mohd (Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif TNB), amat dialu-alukan kerana ia selaras dengan hasrat kesatuan dan persatuan TNB," katanya lagi.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua kesatuan dan persatuan TNB juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana prihatin dan memahami hasrat pihak mereka.

Bulan lalu, kepimpinan kesatuan-kesatuan dan persatuan berkenaan memberi kata dua akan mengadakan piket akhir bulan ini jika Che Khalib tidak berundur dan empat tuntutan utama tidak diselesaikan.

"Sehingga hari ini sebahagian tuntutan selesai. Tetapi kami kena tunggu dan lihat perkembangan susulan," kata Mohd Rozeli, yang juga Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/ceo-tnb-kesatuan-mahu-pm-lantik-orang-dalam-1.21609

No comments:

Post a Comment