Saturday, May 28, 2011
Menghayati Hari Pekerja perlu pendekatan baru
Oleh G. Manimaran
Bilangan tenaga kerja yang menganggotai kesatuan sekerja di negara ini dianggarkan dalam lingkungan 20 peratus berbanding dengan saiz tenaga kerja lebih 10 juta orang dengan jumlah kesatuan sekerja hampir 600.
Bagaimanapun tidak adil untuk memberikan gambaran antara kedudukan paras ahli kesatuan sekerja dengan bilangan pekerja di negara ini. Terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira jika isu penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja dibincangkan.
Salah satu faktor ialah kelayakan untuk menganggotai kesatuan. Bukan semua pekerja yang layak menjadi anggota kesatuan sekerja. Kedudukan dan jawatan, sekali gus gaji menjadi ukuran kelayakan dan mempengaruhi hak untuk berkesatuan.
Di samping itu, faktor peribadi seperti minat untuk berbuat demikian juga merupakan satu lagi faktor yang perlu diambil kira. Cubaan sesetengah majikan untuk tidak menggalakkan pekerja masing-masing menganggotai kesatuan juga merupakan antara faktor yang mengurangkan kadar penyertaan dalam kesatuan sekerja. Malah, sesetengah kesatuan sekerja sedia ada tidak begitu agresif dalam menghimpunkan ataupun menarik ahli baru, sekadar cukup kuota.
Senarai faktor ini akan bertambah jika dikaji dan dihalusi satu demi satu.
Di Malaysia juga 1 Mei merupakan cuti umum sempena Hari Pekerja. Ini kita sedia maklum dan dinikmati oleh kaum pekerja. Bagaimanapun sambutan peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Sumber Manusia diadakan pada hari lain. Sambutan yang diraikan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Jabatan Perkhidmatan Awam juga akan diadakan pada hari yang berbeza.
Cuti umum sempena Hari Pekerja yang disambut oleh pekerja-pekerja tempatan pada hari bermula
dalam sejarah negara ini apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman mengumumkan tanggal 1 Mei sebagai hari kelepasan am bagi pekerja Malaysia pada tahun 1972.
Pengumuman itu dibuat dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO yang diadakan di Dewan Belia, Kampung Pandan pada 20 Mei 1972.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang dilihat sebagai badan induk pergerakan pekerja mempunyai keahlian dalam lingkungan 800,000 orang manakala Cuepacs pula dalam lingkungan 200,000 orang. Justeru, bilangan ahli di kedua-dua badan induk berkenaan masih kecil.
Jika diambil kira saiz tenaga kerja yang menganggotai kesatuan sekerja dan tahap itu dijadikan ukuran, siapa yang sebenarnya menjayakan sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei? Apakah makna 1 Mei bagi kumpulan yang menyertai sambutan Hari Pekerja dan bagaimana mereka yang tidak menyertainya pula? Bagaimana pula dengan tahap penghayatan makna Hari Pekerja bagi kedua-dua kumpulan ini?
Jika dianalisis perkembangan saban tahun, sambutan Hari Pekerja di negara ini tidak jauh berbeza. Jamuan makan malam diadakan menjelang 1 Mei manakala pada 1 Mei, perhimpunan pagi diadakan dengan tumpuan kepada acara sukaneka dan pembacaan ikrar. Amalan ini biasanya dilakukan oleh MTUC dan Cuepacs.
Malah, mereka yang mengambil bahagian dalam sambutan Hari Pekerja anjuran kedua-dua MTUC dan Cuepacs juga lebih kecil berbanding tahap keahlian masing-masing.
Justeru, pada keseluruhannya, masih terdapat majoriti daripada tenaga kerja negara ini tidak menganggotai kesatuan sekerja. Ini menunjukkan mereka tiada peluang secara langsung untuk mengambil bahagian dalam sambutan Hari Pekerja.
Wajarkah mereka disertakan bersama dalam sambutan Hari Pekerja? Jika ya, bagaimana mereka harus disertakan bersama? Sejauh mana mereka menghayati makna Hari Pekerja?
Dalam setiap sambutan yang disertai atau diadakan, sebagai anggota masyarakat kita disemai keperluan semangat menghayati makna setiap aktiviti - bagi acara keagamaan ataupun perayaan, ulang tahun hari kemerdekaan dan hari kenangan sesuatu isu sosioekonomi seperti Hari Belia, Hari Guru dan Hari Warga Emas.
Aspek yang memerlukan pemerhatian ramai sama ada pemimpin kesatuan sekerja ataupun bukan kesatuan sekerja ialah kaedah menarik penyertaan bersama tenaga kerja semua lapisan untuk menghayati makna Hari Pekerja.
Idea Hari Pekerja ataupun dahulunya Hari Buruh, wujud untuk membolehkan setiap pekerja bekerja hanya 8 jam, diikuti 8 jam untuk berehat dan 8 jam untuk tidur.
Malangnya, Hari Pekerja hanya dilihat sebagai acara ataupun program untuk ahli kesatuan sekerja. Bagi yang lain 1 Mei sekadar cuti umum untuk berehat. Pandangan ini harus diubah. MTUC dan Cuepacs harus mengubah sikap ini. Setiap daripada kita merupakan pekerja, tanpa mengira jawatan, kedudukan dan pendapatan.
Nampaknya terdapat halangan dalam soal ini. Halangan ini wujud secara sengaja dan juga secara tidak sengaja. Bagi memastikan penghayatan yang menyeluruh, setiap pekerja tanpa mengira latar belakang perlu diajak untuk menyertai bersama.
Makna Hari Pekerja sebenarnya membawa pengertian yang luas. Pada akhirnya kemajuan diri dan organisasi tempat kerja ditentukan oleh semangat berpasukan.
Jika Hari Pekerja hanya disertai oleh kumpulan kecil dengan kumpulan majoriti merasakan tidak wajar mereka menyertainya, makna sambutannya tidak membawa kesan menyeluruh.
Hari Pekerja juga harus digunakan untuk mengeratkan hubungan sesama pekerja tanpa melihat perbezaan kedudukan dan pangkat. Jika jurang ini tidak diatasi, tiada gunanya diberikan cuti Hari Pekerja setiap tahun.
Kita harus membetulkan kesilapan masa lalu. Kesatuan sekerja, ahli kesatuan dan bukan ahli kesatuan serta setiap pekerja mempunyai peranan dalam hal ini. Siapa yang harus dipertanggungjawabkan dan bertanggungjawab dalam hal ini?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment