Saturday, April 30, 2011

FOMCA: Lupus pegangan GLC secara adil

KUALA LUMPUR 31 Mac - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap langkah kerajaan melepaskan pegangannya dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dapat dilakukan secara telus dan adil.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Shaani Abdullah berkata, langkah itu perlu dilakukan secara kompetitif agar apabila syarikat itu diswastakan, ia dapat diurus dengan baik dan menjamin kos tidak melambung naik.

Sambil menyambut baik langkah tersebut, beliau berkata, konsesi harus diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan berupaya serta tidak diberikan kepada satu syarikat sahaja.

"Telus dan tanpa rasuah. Itu perlu dalam senarai atas jika mahu menswastakan syarikat milik kerajaan.

"Melalui cara itu, barulah pelaburan memberi makna dan faedah kepada rakyat. Jika tidak, ia hanya akan menguntungkan sebelah pihak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat kerajaan melupuskan pegangan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dalam beberapa entiti antaranya Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Pos Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Bhd. seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan Invest Malaysia 2010, semalam.

Muhammad Shaani berkata, kemudahan dan perkhidmatan juga harus dikawalselia oleh kerajaan bagi menjamin keuntungan tanpa mengenepikan kepentingan rakyat.

Menurutnya, konsep penswastaan harus diterjemahkan kepada pengguna tanpa meningkatkan kos serta memberi bebanan.

"Tujuan penswastaan adalah untuk meraih dana kepada kerajaan dan meningkatkan kecekapan operasi syarikat. Tetapi janganlah apabila sudah diswastakan, cawangan ditutup dan sebagainya. Ini tidak boleh berlaku.

"Ini amanah rakyat. Mereka harus mendapat yang terbaik. Jangan ulangi kesilapan lalu apabila kerajaan menswastakan beberapa syarikat miliknya sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Malaysia Airlines System (MASEU), Mustafar Maarof meminta kerajaan tidak tergesa-gesa melepaskan pegangan dalam GLC semata-mata untuk menarik minat pelabur asing.

Malah beliau berharap Khazanah melakukan kajian terperinci dan berbincang dengan pemegang saham sebelum membuat sebarang keputusan.

"Khazanah harus ingat bahawa mereka bukan sahaja sayap pelaburan tetapi juga bertanggungjawab terhadap keselamatan negara.

"Justeru perlu banyak kajian dan penyelidikan berasingan dilakukan sebelum membuat keputusan bagi setiap syarikat berasingan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mustafar berkata, penilaian terhadap langkah itu juga perlu dilakukan kerana GLC seperti Pos Malaysia, TNB, Telekom, Malaysia Airport dan Malaysia Airlines, setiap satunya memiliki struktur perniagaan dan spesifikasi kerja yang berbeza.

Melepaskan salah satu daripadanya kata Mustafar, akan menyebabkan kekeliruan antara pemegang saham khususnya dalam mengendalikan pengurusan.

"Contoh yang terbaik adalah industri penerbangan kerana industri ini antara yang awal menghadapi masalah apabila krisis ekonomi dunia berlaku tetapi apabila ekonomi pulih, industri ini menjadi industri terakhir untuk menjadi pemain utama," jelasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

No comments:

Post a Comment