Wednesday, February 23, 2011

Pecah amanah: Bekas s/u NUBE dipenjara 10 tahun

Bekas setiausaha agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE), K Shanmugam hari ini dipenjarakan 10 tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas kesalahan pecah amanah dana kesatuan.

Hakim Azizah Mahamud membuat keputusan demikian setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Shanmugam didapati menyalah-gunakan dana NUBE pada 1996 membabitkan RM8 juta.

Hakim Azizah mengarahkan Shanmugam, 63, menjalani hukuman itu bermula hari ini, dan sekiranya gagal menjelaskan denda itu, dia boleh dipenjara enam bulan.

Shanmugam, bapa kepada empat orang anak itu, bernasib baik tidak dikenakan hukuman sebatan kerana faktor umur.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

"Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan itu tetapi dengan syarat tambahan iaitu wang jaminan yang dikenakan terhadap tertuduh ditambah daripada RM50,000 kepada RM100,000 dengan seorang penjamin, selain pasport turut ditahan sehingga kes selesai," kata hakim Azizah.

Bagaimanapun mahkamah mengarahkan tertuduh membayar denda itu pada hari ini.

Azizah dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farhan Read, berjaya membuktikan elemen kedudukan tertuduh sebagai setiausaha kesatuan itu bagi melakukan jenayah itu.

"Dan perkara ini (jawatannya ketika itu) diakui oleh tertuduh sendiri dan juga saksi-saksi pembelaan," katanya.

Hakim Azizah juga berkata keterangan saksi pihak pendakwaan turut membuktikan elemen bahawa tertuduh sememangnya diamanahkan wang itu oleh kesatuan.

Selain itu, katanya, Shanmugam gagal mengemukakan laporan berhubung pembelian saham itu pada mesyuarat kesatuan antara 1 Jun 1996 dan 31 Dis 1996.

"Mahkamah juga mendapati keterangan saksi pembelaan yang dikemukakan ketika perbicaraan tidak boleh diterima kerana tidak berada dalam mesyuarat yang dijalankan itu," katanya.

Terdahulu Shankar, ketika memohon agar anak guamannya dikenakan hukuman yang ringan, berkata Shanmugam menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Mengikut pertuduhan, Shanmugam didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah terhadap dana itu dengan menjalankan pembelian saham secara kontra yang bertentangan dengan cara yang ditetapkan untuk melaksanakan amanah tersebut seperti yang terkandung dalam resolusi NUBE bertarikh 21 Okt 1994.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank, Bangunan Nube, Jalan Tunku Abdul Rahman pada Mac 1996.

- Bernama

No comments:

Post a Comment